Isnin, 6 November 2017 | 12:27am
Penyanyi Dayang Nurfaizah di umum persembahan terbaik pada Separuh Akhir Muzik Muzik 32 Minggu Ke 2 di Plaza Alam Sentral. - Foto Mahzir Mat Isa

Separuh Mati Ku Bercinta lagu terbaik separuh akhir kedua

SHAH ALAM: Separuh Mati Ku Bercinta ciptaan sepenuhnya Ajai dipilih sebagai Lagu Terbaik bagi minggu kedua Separuh Akhir Muzik Muzik 32 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini, malam ini.

Dendangan yang dibawakan oleh Dayang Nurfaizah itu meraih perhatian barisan juri termasuk AG Coco, Eddrie Hashim, Halen Yap, LY, Azmeer, Pak Ngah dan Datuk Mokhzani Ismail selaku ketua juri.

Begitupun, lagu berkenaan bersama sebuah lagi dendangan yang turut dipilih sebagai Lagu Terbaik minggu lalu, Sejati, ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan belum ditentukan layak ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) 32.

Penentuan 12 karya yang mara ke malam kemuncak AJL 32 awal tahun depan hanya diumumkan selepas Separuh Akhir Muzik Muzik 32 untuk minggu ketiga, pada 12 November ini, sebaik saja 10 lagu lagi dipersembahkan.


Penyanyi Dayang Nurfaizah di umum persembahan terbaik pada Separuh Akhir Muzik Muzik 32 Minggu Ke 2 di Plaza Alam Sentral. - Foto Mahzir Mat Isa

Minggu kedua separuh akhir Muzik Muzik 32 turut mempertaruhkan lagu Aku Sanggup nyanyian Sufi, Rempuh (Tomok & Black), Jangan Menangis (Aizat) dan Harus Aku (Sufian Suhaimi).

Turut berentap ialah Zalikha (Floor 88) Warkah Untukmu (Ara Johari), Permata Cinta (Aiman Tino), Terus Mencintai (Siti Nordiana) dan Jangan Pernah Berdusta (Aepul Drama Band & Haiza).

4669 dibaca
Berita Harian X