Jumaat, 3 November 2017 | 7:10pm

Program siaran TV3 kuasai ASK 2017

KUALA LUMPUR: Rancangan siaran TV3 mendominasi Anugerah Skrin (ASK) 2017 menerusi beberapa kategori yang diumumkan lebih awal, petang ini.

Disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen itu, acara dikenali sebagai Prelude ASK 2017 di ruang permaidani merah berhampiran Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), lokasi sebenar malam ini.

Antara program mencatat kemenangan pada acara yang dihoskan oleh Haiza Hanafi dan Issey Fazlisham termasuk Anugerah Juara Lagu (AJL) 31, Melodi Raya, Wanita Hari ini, Jejak Rasul, Buletin Utama, 3 Juara dan Mahligai Cinta.

AJL edisi ke-31 memenangi dua kategori, iaitu Penataan Cahaya Terbaik Rancangan Siaran Langsung menerusi Nageswaran Ramanujem dan Montaj Terbaik (Hafiz Mohd Nordin).

Rancangan Dokumentari Terbaik dimenangi Jejak Rasul As Salam 2017 menerusi isu Batu Terapung (Mohd Fasil Mohd Idris), Rancangan Bual Bicara Terbaik (Wanita Hari Ini, isu Khunsa / Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan), Rancangan Hiburan Terbaik (Melodi Raya / Michelle Wee), Laporan Khas Berita Terbaik (Buletin Utama, isu Ulat Parkir / Hafiz Rosli).

Trofi Kategori Videografi Terbaik diserahkan kepada Mahligai Cinta (Mohd Adli Maaris) dan Penataan Bunyi Terbaik Rancangan Siaran Langsung (3 Juara / Nor Azhar Md Amin).

Sementara itu, kategori Suntingan Terbaik dimenangi program Mana Kawan Adik (Dzulkifli Shaari) dan Reka Bentuk Set Terbaik (Rentak Juara ke-17 Akhir / Siti Nur Mat Arip).

Drama Terima Kasih Ramadan pula memenangi dua kategori, iaitu Videografi Drama Terbaik dan Penyunting Drama Terbaik. Drama Rantaian Popular Media Sosial dimenangi produksi Zamriez Golden Pictures Sdn Bhd menerusi Pergilah Air Mata.

Malam ini, pemenang 20 lagi kategori akan diumumkan pada acara kemuncak ASK 2017 yang akan dihoskan oleh Fahrin Ahmad, Jihan Muse dan Shuk Balas.

1846 dibaca
Berita Harian X