Jumaat, 6 Oktober 2017 | 11:06pm
DOKUMENTARI berkaitan Steven Spielberg bakal ditayangkan menerusi saluran HBO, Ahad ini.
ANTARA kandungan dokumentari berkaitan Steven Spielberg yang bakal disiarkan menerusi saluran HBO, Ahad ini.
DOKUMENTARI berkaitan Steven Spielberg akan mengupas pembabitannya dalam industri filem apabila bakal ditayangkan menerusi saluran HBO, Ahad ini.

Spielberg dedah rahsia kejayaan dalam dokumentari

KUALA LUMPUR: Pengarah tersohor dunia, Steven Spielberg, mendedahkan kisah di sebalik sejarah gemilang beliau dalam dunia perfileman menerusi dokumentari siaran saluran HBO, Ahad ini.

Disiarkan secara serentak dengan tayangannya di Amerika Syarikat, dokumentari berjudul Spielberg mengupas pembabitan tokoh seni terbabit dalam industri itu secara mendalam dan memaparkan bagaimana pengalaman dikutip beliau sepanjang tempoh berkenaan mengubah caranya bekerja.

Menurut kenyataan dikirimkan kepada BH Online, dokumentari berkenaan diarah dan diterbitkan oleh pemenang pelbagai anugerah dalam bidang seni, Susan Lacy.

Sepanjang kerjayanya yang menjangkau usia hampir lima dekad, pencapaian tokoh perfileman disegani ini sememangnya sukar ditandingi. Beliau antara pengarah, penerbit dan penulis skrip yang sentiasa tampil bersama idea serta teknologi baharu dalam penghasilan filem.

Evolusi kerjaya Spielberg di arena perfileman dapat diikuti menerusi temubual eksklusif sepanjang hampir 30 jam oleh Lacy bersama pengarah berusia 70 itu.

Menerusi temubual berkenaan, beliau berkongsi mengenai pengalaman pahit manis ketika zaman kanak-kanak dan ketaasubannya terhadap dunia pembikinan filem.

Spielberg juga bercerita mengenai zaman kebangkitannya bersama beberapa filem blockbuster arahannya, pembabitan beliau dalam penghasilan karya lebih serius dan dramatik, selain hubungan yang terjalin sepanjang terbabit dengan industri itu.

Tidak ketinggalan ditampilkan dalam dokumentari ini ialah anggota keluarganya sendiri, selain rakan dan teman sekerja, serta paparan belakang tabir beberapa filem hebatnya seperti Jaws, Raiders of the Lost Arc, ET: The Extra-Terrestrial, Jurassic Park, Schindler's List, Saving Private Ryan, Bridge of Spies dan lain-lain.

Lacy juga menemubual lebih 80 individu untuk filem dokumentari terbabit termasuk pelakon, pengarah, penerbit, hinggalah mereka yang dianggap pakar dalam industri berkenaan.

Antara insan seni yang berkongsi pengalaman dan cerita masing-masing termasuk J.J. Abrams, Christian Bale, Drew Barrymore, Cate Blanchett, Francis Ford Coppola, Daniel Craig, Daniel Day-Lewis, Brian de Palma, Laura Dern, Leonardo DiCaprio, Richard Dreyfuss, Ralph Fiennes, Harrison Ford, David Geffen, Tom Hanks, Dustin Hoffman, Holly Hunter, Jeffrey Katzenberg, Ben Kingsley, Kathleen Kennedy, George Lucas, Liam Neeson, Martin Scorsese, Oprah Winfrey dan Robert Zemeckis.

899 dibaca
Berita Harian X