Jumaat, 6 Oktober 2017 | 12:37pm
RAJA Azrey Raja Kamaruzzaman (tengah) pada sidang media teater 'Kontena 404-Jangan Main Main' di Bilik Seri Nilam, Istana Budaya.- Foto Nik Hariff Hassan

Teater Kontena 404 kekal bermula 20 Okt

KUALA LUMPUR: Produksi teater Kontena 404 terbitan DBI Entertainment terus fokus dengan tanggungjawab meneruskan pementasan walaupun berdepan beberapa isu semasa.

Pengarahnya, Raja Azrey Kamaruzzaman, berkata pihaknya lebih risau pelakon gagal memberi penghayatan mantap pada hari pementasan berbanding memikirkan cakap-cakap orang.

Ia berikutan salah seorang daripada ahli lembaga pengarah berdepan dengan isu membabitkan perundangan.

"Saya tidak nafikan ada yang bimbang mendengar isu ini, tetapi saya mengingatkan semua anggota penerbitan supaya fokus dengan tanggungjawab diberikan.

"Sejak beberapa hari lalu saya sukar tidur kerana lebih bimbang memikirkan persiapan dan maklum balas penonton.

"Sejak 12 tahun terbabit dalam dunia pementasan saya mengidam mengarahkan teater di Istana Budaya. Selepas dapat sudah tentu saya mahu memberikan hasil terbaik," katanya.

Pementasan bercorak komedi seram lakonan Tauke Jambu, Izreen Azminda, Miera Liyana, Adam AF dan Rani Kulup itu menelan kos kira-kira RM100,000.

Wakil penerbitan akan mengumumkan sumber kewangan dan tajaan diterima untuk teater itu, pada hari terakhir pementasan bagi memenuhi permintaan penaja.

1041 dibaca
Berita Harian X