Khamis, 5 Oktober 2017 | 6:03pm

Teater diteruskan, produksi Kontena 404 rahsia identiti penaja

KUALA LUMPUR: DBI Entertainment Sdn Bhd menafikan seorang daripada ahli lembaga pengarahnya, Datuk Boy Iman, sebagai pembiaya utama penerbitan teater, Kontena 404, yang bakal dipentaskan di Istana Budaya bermula 20 Oktober ini.

Pengurus Besarnya, Lyana Zulkepli, berkata kos penerbitan teater yang menelan belanja kira-kira RM100,000 itu turut mendapat tajaan dan sumber daripada individu yang terpaksa dirahsiakan buat waktu ini.

"Teater ini tetap diteruskan walaupun di luar sana orang heboh memperkatakan mengenai isu membabitkan Datuk Boy Iman, yang juga ahli lembaga syarikat ini.

"Ingin kami jelaskan, bukan dia seorang yang membiayai kos keseluruhan pementasan, sebaliknya kami ada penaja dan penyumbang lain.

"Cuma, di atas permintaan pihak terbabit, kami terpaksa merahsiakan identitinya. Ia hanya akan didedahkan pada hari terakhir pementasan nanti," katanya ketika ditemui pada sidang media teater berkenaan di sini, hari ini.

Terdahulu, orang ramai meminta pementasan teater lakonan Miera Leyana, Tauke, Izreen Azminda dan Adam AF itu dihentikan susulan kes penipuan pembelian rumah membabitkan syarikat DBI Properties milik Boy Iman atau nama sebenarnya Norul Iman Abdul Rahman, 37.

Walaupun wakil DBI Entertainment menegaskan syarikat berkenaan tiada kaitan dengan DBI Properties, namun daripada hebahan awal teater terbabit, pihak produksi pernah menyatakan Boy Iman adalah penerbit bagi pementasan itu.

1287 dibaca
Berita Harian X