Rabu, 4 Oktober 2017 | 3:55pm
DATUK Norman Abdul Halim. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Isu Filem Tak Laku: Kandungan, strategi pemasaran, promosi main peranan

Kejayaan dan kegagalan sesebuah filem bergantung kepada tiga faktor utama iaitu kandungan, pemasaran dan penjadualan, itulah pandangan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).

Presidennya, Datuk Norman Abdul Halim, berkata penonton dilihat lebih cenderung memilih sesuatu judul berdasarkan genre, barisan pelakon, pengarah, syarikat produksi dan jenama filem terbabit.

Katanya, filem yang melepasi kutipan RM10 juta terarah kepada produksi syarikat gergasi seperti Astro Shaw dan Primeworks Studios, yang memiliki keupayaan pemasaran serta promosi hebat.

Dari segi penjadualan pula, Norman melihat slot terbaik untuk tayangan filem tempatan adalah dalam suku tahun pertama dan suku tahun ketiga. Jelasnya, ketika itu tidak banyak filem antarabangsa ditayangkan di pawagam.

"Kejayaan Abang Long Fadil 2 dan J Revolusi mencatat kutipan pecah panggung, tahun ini, menepati faktor terbabit," katanya.

Jalin kerjasama dengan syarikat besar

Bagi memastikan penerbit baharu, terutama mereka yang mengalami kerugian terus bernafas, Norman berpendapat, perlu wujudnya kerjasama antara mereka dengan pemain serta syarikat perfileman gergasi tanah air.

"Menerusi kerjasama ini, bajet lebih besar dapat dikeluarkan. Seterusnya, filem dengan lebih banyak idea segar dan kandungan menepati elemen box office dapat dihasilkan.

"Lagipun, penerbit baharu dan syarikat individu mempunyai banyak kekangan sumber, yang tentunya menyukarkan masing-masing menembusi pasaran filem tempatan," katanya.

Selain itu, Norman berkata, penambahbaikan perlu dilakukan oleh Jawatankuasa Skim Wajib Tayang bagi memastikan hanya filem yang betul-betul layak ditayangkan di pawagam.

Katanya, tanpa kriteria diletakkan jawatan kuasa itu sebelum ini menyebabkan semua karya yang membuat permohonan untuk tayangan pawagam akan diterima oleh badan terbabit.

"Perkara ini wajar dilakukan supaya penonton tidak tertipu dengan trailer filem yang disiarkan pada awalnya sebagai promosi. Menerusi pindaan syarat Wajib Tayang, ia membolehkan agensi terbabit menolak filem tidak menepati kriteria.

"Namun, bagi filem yang ditolak pula, penerbitnya masih boleh membuat rayuan. Selain itu, mereka boleh menggunakan platform digital bagi memasarkan produk masing-masing," katanya.

Menurutnya, kewujudan platform seperti Astro First, Netflix dan Iflix perlu diberi perhatian sewajarnya.

Manfaat platform digital

Norman berkata, beliau tidak mahu industri perfileman menerima nasib sama seperti muzik yang pada awalnya cuba melawan arus dan enggan menerima medium baharu.

Kesannya menyaksikan industri muzik agak merudum ketika itu.

"Penggiat seni harus mengikut perubahan kerana penonton sekarang sudah beralih arah kepada platform digital. Selain itu, platform digital ini juga memberi peluang kepada penonton di sesetengah kawasan yang tidak mempunyai pawagam.

"Jadi, ia patut dijadikan platform tambahan buat penerbit untuk mendapatkan lebih banyak pulangan. Namun, perlu ada pelarasan agar filem yang ditayangkan di pawagam tidak terlalu cepat disiarkan menerusi platform itu.

"Ia bagi memberikan nilai eksklusif kepada penonton yang ke panggung," katanya.

Tiada kajian mendalam sebelum hasil filem

Presiden Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM), Othman Hafsham, berkata kutipan filem yang teruk berlaku kerana penerbit tidak melakukan kajian mendalam sebelum menghasilkan sesebuah produk.

Katanya, FDAM juga melakukan kajian tersendiri, mendapati ketiadaan atau kurangnya unsur universal, selain jalan cerita lemah antara punca utama filem tempatan tidak mendapat sambutan.

"Ramai produser baharu hanya tahu buat filem tetapi mereka tidak mengkaji pasarannya.

"Sekiranya filem itu bagus, tidak mustahil untuk karya terbabit mendapat sambutan kerana akan berlakunya cakap dari mulut ke mulut yang seterusnya mengajak penonton ke pawagam," katanya.

Namun, kualiti filem bukanlah penentu semata-mata untuk filem itu berjaya kerana banyak filem yang digarap dengan baik tetap gagal menarik minat penonton.

Padah ambil mudah bajet promosi

Dalam pada itu, Othman menegaskan, banyak aspek lain seperti promosi, pemasaran dan penjenamaan perlu dititikberatkan dalam memasarkan sesebuah filem.

"Kekangan kewangan dan bajet menyebabkan mereka sekadar melakukan promosi ala kadar seperti di media sosial, tetapi tidak di media arus perdana lain.

"Malah diakui filem yang mempunyai bajet besar memang berjaya di pasaran. Selain dihasilkan dengan kualiti yang baik, mereka ada bajet untuk promosi. Faktor itu penting bagi menarik penonton ke pawagam," katanya.

Selain itu, beliau mengakui, ramai produser baharu muncul dengan tanggapan perniagaan dalam perfileman mampu mengaut untung tinggi.

"Sebab itu pernah berlaku lambakan filem beberapa tahun lalu kerana kehadiran ramai produser baharu yang agresif hasilkan filem. Namun, disebabkan persaingan, menyebabkan filem terbitan mereka gagal di pasaran.

"Ini seterusnya menjejaskan kredibiliti industri perfileman kerana penonton kurang yakin dengan judul keluaran negara ini. Kesannya terus dirasai hingga sekarang.

"Ramai yang tidak tahu kesukaran pernah dialami pemain lama dalam industri ini. Walaupun filem terbitan Skop Productions berjaya mendapat kutipan tinggi, awalnya mereka juga dilanda kerisauan kalau judul dihasilkan tidak mendapat sambutan.

"Begitupun, rezeki memihak kepada mereka apabila Abang Long Fadil 2 berjaya mendapat kutipan tinggi. Mereka bernasib baik berbanding filem lain," katanya yang kali terakhir duduk di kerusi pengarahan filem pada 2011 menerusi filem Karipap-Karipap Cinta.

Info

Dua filem raih kutipan tertinggi tahun ini

J Revolusi

- Dihasilkan secara kerjasama antara Infinitus Production Sdn Bhd dengan Primeworks Studios.

- Menelan kos kira-kira RM3 juta, filem lakonan Zul Ariffin, Farid Kamil, Fazura dan Izara Aishah mendapat kutipan sebanyak lebih RM7 juta apabila ditayangkan pada 2 Mac lalu.

Abang Long Fadil 2

- Produk kerjasama antara Skop Productions Sdn Bhd dengan Astro Shaw.

- Dihasilkan dengan kos RM3.2 juta dan hingga kini berjaya mengutip lebih RM17 juta.

- Diarah oleh Syafiq Yusof, ia menampilkan Zizan Razak, Datuk AC Mizal, Wak Doyok, Syamsul Yusof, Shuib Sepahtu dan Tania Hudson. Filem ini ditayangkan pada 24 Ogos lalu.

1250 dibaca
Berita Harian X