Ahad, 1 Oktober 2017 | 11:53pm
PESERTA Selangor, Muhammad Luqman Hakim Othman, 22, muncul juara program realiti, Da'i Pendakwah Nusantara musim kelima di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di Shah Alam, sebentar tadi. - Foto Zunnur Al Syafiq

Muhammad Luqman Hakim juara Da'i Pendakwah Nusantara

SHAH ALAM: Peserta Selangor, Muhammad Luqman Hakim Othman, 22, muncul juara program realiti, Da'i Pendakwah Nusantara musim kelima di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini, sebentar tadi.

Muhammad Luqman yang menyampaikan dua tazkirah bertajuk 'Anakku Tak Salah (Tarbiyah Ibu Bapa)' dan 'Al-Hafiz atau Al-Habis' membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000, trofi dan pakej umrah.

Kelantangan dan kekuatan dalam penyampaian Muhammad Luqman menambat hati juri tetap, Zarifi Daud dan Prof Madya Dr Sharifah Haayati Syed Ismail serta Murabbi iaitu Roslan Mohamed dan Asni Abu Mansor Al-Hafizah.

Naib juara pentas akhir Da'i Pendakwah Nusantara dimenangi Nur Afiqah Mahmud, 22 dari Baling, Kedah yang membawa pulang hadiah RM5,000 serta trofi.

Nur Afiqah mempersembahkan tazkirah bertajuk 'Surat Terakhir (Wasiat)' dan 'Ukuran Simetri'.


PESERTA Selangor, Muhammad Luqman Hakim Othman (tengah) bergambar bersama Nur Afiqah Mahmud (kanan) dan Muhammad Fahmi Zukifly selepas menjuarai program realiti, Da'i Pendakwah Nusantara musim kelima di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di Shah Alam, sebentar tadi. - Foto Zunnur Al Syafiq

Manakala, Muhammad Fahmi Zukifly, 19, menduduki tempat ketiga dengan memenangi hadiah wang tunai RM5,000 serta trofi. Beliau menyampaikan tazkirah bertajuk 'Aku Tahu (Saksi)' dan 'Ujian'.

Pemarkahan peserta diadili daripada sudut isi dan hafazan oleh juri tetap mewakili 70 peratus, manakala selebihnya daripada Murabbi sebanyak 20 peratus dan juri awam 10 peratus.

Da'i Pendakwah Nusantara turut mengundang Timbalan Pengarah Pejabat Mufti Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Irwan Hadi sebagai pengkritik jemputan.

Masih mengekalkan Datuk Kazim Elias sebagai Mursyid, program yang bersiaran selama 12 minggu itu turut menampilkan Datuk Rosyam Noor selaku pengacara utama dan Zainal Ariffin Ismail sebagai pengacara bersama.

Pentas akhir program keagamaan itu turut menampilkan gandingan Rabbani dan Black membuat persembahan dengan lagu bertajuk Dalam Aku sebelum keputusan diumumkan.

3346 dibaca
Berita Harian X