Khamis, 7 September 2017 | 11:05am
PAK Jabit atau nama sebenarnya, Man Kadir Samsi, menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun

'Pak Jabit' meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran yang popular dengan watak Pak Jabit dalam filem Hantu Kak Limah, meninggal dunia di sebuah klinik di Lanchang, Pahang, jam 7.10 pagi tadi, dipercayai berpunca daripada masalah jantung.

Pak Jabit atau nama sebenarnya, Man Kadir Samsi, menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun. Terdahulu, Pak Jabit rebah di rumah dan dibawa ke klinik oleh anaknya.

Cucu Allahyarham, Zakiah Razali, memberitahu BH Online, arwah ada mengirim mesej kepadanya malam tadi, mengadu mudah letih sejak kebelakangan ini.


ALLAHYARHAM Pak Jabit ketika hayatnya. - Foto ihsan Zakiah Razali

"Tidak sangka itu adalah mesej terakhir sebelum arwah atuk meninggal dunia.

"Doktor mengesahkan atuk sudah tiada sebaik dibawa ke klinik pagi tadi. Setahu saya, atuk tidak mempunyai masalah jantung.

"Jenazah atuk akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Lanchang, hari ini sebaik semua urusan selesai," katanya.

Selain Hantu Kak Limah, Pak Jabit turut dikenali dalam filem Zombi Kampung Pisang, Man Laksa, Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel dan banyak lagi.

12251 dibaca
Berita Harian X