Selasa, 29 Ogos 2017 | 8:45pm
Pengerusi FINAS merangkap Penasihat Festival Filem Malaysia 29, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (tengah), Ketua Pengarah FINAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk FFM 29, Datuk Fauzi Ayob (kanan) dan Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal FINAS merangkap Pengarah FFM 29, Mohd Zulkifli Abdul Wahab di sidang media Festival Filem Malaysia Ke 29 (FFM 29) di FINAS, Hulu Kelang. - Foto NSTP/Salhani Ibrahim

Top 5 FFM 29 diumum pada malam kemuncak

KUALA LUMPUR: Senarai calon Top 5 bagi setiap kategori dipertandingkan pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-29 akan hanya diumumkan pada malam kemuncak acara.

Pengerusi Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) merangkap penasihat FFM 29, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, berkata keputusan itu dibuat bagi mengelakkan kontroversi dan pertikaian seperti yang berlaku tahun lalu.

"Ia juga dilakukan sebagai strategi menarik kehadiran pembikin filem untuk sama-sama memeriahkan acara. Sebelum ini, majlis kemuncak hanya dihadiri calon yang bertanding," katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di sini, hari ini.

Malam kemuncak FFM 29 akan berlangsung pada 23 September depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.


Pengerusi FINAS merangkap Penasihat Festival Filem Malaysia 29, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (tengah), Ketua Pengarah FINAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk FFM 29, Datuk Fauzi Ayob (liama kanan) dan Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal FINAS merangkap Pengarah FFM 29, Mohd Zulkifli Abdul Wahab (lima kiri) di sidang media Festival Filem Malaysia Ke 29 (FFM 29) di FINAS, Hulu Kelang. - Foto NSTP/Salhani Ibrahim

Katanya, fokus penganjuran FFM kali ini adalah pada pembangunan modal insan, dengan penekanan diberikan kepada perkongsian idea daripada pembikin filem India dan Amerika Syarikat menerusi penganjuran bengkel serta seminar.

"Penganjuran kali ini juga mencipta kelainan apabila ia akan memberikan penghargaan terhadap ketokohan Allahyarham Tan Sri Dr Jins Shamsuddin dalam pembikinan filem. Selain itu, kita juga akan mengabadikan bintang dengan menaik taraf Wall of Fame," katanya.

Menurut Mohd Khusairi, berbanding beberapa penganjuran sebelum ini, FFM 29 bakal menyaksikan hanya satu malam kemuncak diadakan.

"Justeru, kita akan cuba menyusun acara dengan sebaiknya dan mungkin tiada ucapan pemenang pada malam berkenaan manakala persembahan juga dikurangkan," ujarnya.

Sehingga kini, katanya, lebih 40 penyertaan sudah pun diterima berbanding 81 yang menjadi sasaran.

Antara filem yang sudah menghantar penyertaan ialah Hanyut, Interchange, Pekak, Reda, Rock Bro, Lebuhraya Ke Neraka, Kau Yang Satu, Kimchi Untuk Awak dan Adiwiraku.

"Saya yakin jumlah terbabit akan bertambah menjelang 3 September depan," katanya.

ends...

673 dibaca
Berita Harian X