Jumaat, 25 Ogos 2017 | 4:57pm
PENGERUSI Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Datuk Norman Abdul Halim (kiri), Pengerusi FINAS, Datuk Mohd Khusairi Abd Talib (kanan) dan Ketua Pengarah FINAS, Datuk Fauzi Ayub di sidang media rakaman haram di Bangunan Utama FINAS, Ulu Kelang. - Foto Salhani Ibrahim

FINAS tubuh Jawatankuasa Khas Banteras Cetak Rompak Digital

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berusaha menangani aktiviti cetak rompak digital yang semakin berleluasa dengan menubuhkan jawatankuasa khas.

Pengerusinya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, berkata Jawatankuasa Khas Banteras Cetak Rompak Digital akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah perbadanan berkenaan, Datuk Fauzi Ayub, dan bakal dianggotai oleh pihak berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan Persatuan Pempamer Filem Malaysia (MAFE).

"Kami memandang serius aktiviti rakaman haram ini kerana ia boleh melumpuhkan industri perfileman Malaysia. Jadi, jawatankuasa khas ini ditubuhkan supaya agensi dan pihak berkaitan industri perfileman dapat duduk bersama bagi membuat pemantauan dan seterusnya mengambil tindakan terhadap individu atau pihak yang membuat rakaman dalam pawagam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat khas berkaitan isu berkenaan di pejabat FINAS, di sini hari ini.

Baru-baru ini, seorang penonton didakwa membuat lintas langsung tayangan filem Kau Yang Satu di pawagam melalui Facebook, memaksa produksi filem berkenaan membuat laporan polis.

Terbaru, filem Abang Long Fadil 2, yang baru saja menemui penonton secara rasmi mulai semalam, menerima nasib sama apabila ada individu didakwa memuat naik sedutan filem terbabit selama 30 saat di laman sosial Instagram.

Skop Production Sdn Bhd selaku syarikat penerbitannya sudah membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati berhubung insiden terbabit.

Kata Khusairi, FINAS juga akan menerbitkan klip video khas untuk memberi kesedaran kepada penonton supaya tidak melakukan rakaman ketika menonton di pawagam. Syarikat pempamer akan diwajibkan untuk menyiarkannya sebelum tayangan filem bermula.

"Mungkin ada pihak yang tidak sedar, membuat rakaman secara haram menyalahi undang-undang. Jadi, klip video terbabit diharap dapat memberi kesedaran dan peringatan kepada penonton supaya tidak membuat rakaman sewenang-wenangnya.

"Malah, syarikat pempamer filem juga sudah memberi maklum balas untuk lebih membuat pemantauan dalam pawagam dan mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat rakaman haram.

"Pihak yang membuat rakaman haram dan memuat naik di media sosial adalah bertentangan dengan Akta Hak Cipta 1987. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhkan hukuman lima tahun penjara dan denda RM5,000 hingga RM20,000," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PFM, Datuk Norman Abdul Halim, menyambut baik maklum balas segera yang dilakukan FINAS dengan menubuhkan jawatankuasa khas terbabit.

Katanya, pihak pempamer filem juga perlu memainkan peranan lebih proaktif kerana rakaman haram yang tersebar itu datangnya dari pawagam ketika tayangan filem berlangsung.

"Saya ingin memberi amaran kepada pihak yang membuat rakaman ini supaya memberhentikan aktiviti ini kerana tindakan keras boleh diambil terhadap mereka.

"Rakaman haram digital yang dilakukan itu bukannya untuk membantu promosi filem terbabit, sebaliknya digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan 'like' atau tontonan tinggi di laman sosial mereka.

"Sekiranya ingin membantu dalam promosi filem, mereka boleh menggunakan bahan daripada sumber rasmi seperti media sosial syarikat penerbitannya," katanya.

281 dibaca
Berita Harian X