Khamis, 24 Ogos 2017 | 7:38pm
DAYANG Nurfaizah dan Ayda Jebat

Dayang, Ayda dicalonkan dalam empat kategori APM 2017

KUALA LUMPUR: Dayang Nurfaizah dan Ayda Jebat mengetuai senarai pencalonan artis Malaysia pada Anugerah Planet Muzik (APM) 2017 masing-masing dalam empat kategori.

Penyanyi yang kini meledak dengan lagu Separuh Mati Ku Bercinta, Dayang, dicalonkan dalam kategori Artis Terbaik (Wanita), Lagu Terbaik (Malaysia), Lagu Paling Popular APM dan Artis Paling Popular APM.

Bintang sensasi yang baru saja muncul dengan single berjudul Mata, Ayda, pula disenaraikan ke akhir dalam kategori Kolaborasi Terbaik (Lagu), Ikon Media Sosial, Lagu Paling Popular APM dan Artis Paling Popular APM.

Pencalonan berkenaan diumumkan pada sidang media yang diadakan di sini, hari ini.

Selain dua bintang wanita berkenaan, beberapa lagi penyanyi popular negara ini mampu tersenyum dengan beberapa pencalonan akhir diterima mereka bagi acara yang akan berlangsung pada 14 Oktober depan di Kota Singa.

Faizal Tahir, Aiman Tino dan Wany Hasrita masing-masing menerima tiga pencalonan pada anugerah yang memasuki edisi ke-16 berkenaan, manakala Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Alif Satar, Yuna, Kaka, SonaOne dan Khai Bahar pula berbangga dengan masing-masing dua pencalonan.

Lebih 600 pencalonan awal membabitkan artis dari Malaysia, Singapura dan Indonesia diterima pada penganjuran kali ini, yang menyaksikan 19 anugerah bakal disampaikan pada malam kemuncak.

1072 dibaca
Berita Harian X