Rabu, 23 Ogos 2017 | 6:53pm
KUMPULAN rock Linkin Park merancang mengadakan majlis memperingati vokalis utamanya, mendiang Chester Bennington. - Foto AFP

Linkin Park rancang hari memperingati vokalis utama

LOS ANGELES: Kumpulan rock Linkin Park berkata semalam mereka merancang mengadakan majlis memperingati vokalis utamanya, mendiang Chester Bennington, sebulan selepas dia membunuh diri.

Dalam akaun Facebook, kumpulan itu hanya mendedahkan mengenai 'acara awam khas' yang akan berlangsung di Los Angeles, sambil menjelaskan butiran lanjut akan diumumkan tidak lama lagi.

"Kami hanya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat di seluruh dunia atas rasa cinta yang melimpah ruah, sekali gus menguatkan lagi semangat kami ketika berdepan waktu yang sangat sukar ini," kata kumpulan itu.

Bennington yang dikenali menerusi vokal metal mantap digandingkan dengan sentuhan hip-hop pemain gitar Mike Shinoda sehingga mencetuskan genre trademark 'nu metal', ditemui mati tergantung di rumahnya di Los Angeles pada 20 Julai lalu.

Difahamkan sepanjang hayatnya, pemuzik berusia 41 itu bergelut dengan masalah dadah, alkohol dan trauma akibat penderaan kanak-kanak.

Peminat di seluruh dunia menganjurkan berpuluh-puluh acara untuk memperingati Bennington selepas kematiannya.

Rakan-rakannya yang cukup terkejut dengan tragedi itu turut menyuarakan sokongan. - AFP

818 dibaca
Berita Harian X