Selasa, 22 Ogos 2017 | 6:26pm
BADE (kiri) dan Erma Fatima. - Foto NSTP

Bade tetap lelaki terbaik

PETALING JAYA: Pengarah Erma Fatima mengaku biar apa pun yang terjadi, bekas suami, Badaruddin Azmi atau Bade tetap dianggap lelaki terbaik dalam hidupnya.

Bagi Erma, 49, walaupun sudah berpisah secara rasmi, hubungan mereka baik.

Malah, tambah Erma, bekas suaminya itu masih pulang ke rumah untuk berjumpa anak.

"Hubungan saya dengan dia masih baik... Dia masih balik (rumah). Kami juga tiada masalah dan kami tidak bergaduh. Walau apa-apa pun, bagi saya, dia tetap lelaki terbaik. Cuma, jodoh kami sampai setakat ini.

"Anak ada bertanya tetapi mereka sudah faham. Mereka perlu menerima hakikat ini. Saya katakan jika kita mencintai seseorang, kita perlu biarkan dia pergi," katanya ditemui pada majlis pelancaran Malaysia Fashion & Business Mission To New York di sini, hari ini.

Pada 17 Ogos lalu, Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad yang berkahwin dengan Bade, 53, pada 1991, bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Pasangan itu mempunyai lima anak angkat iaitu Nurain, 11; Citea, 15; Ahmad Aifin, 20; Ahmad Arir, 22, dan Syamil Ikhwan, 24.

Sementara itu, Erma berkata, beliau bersama dua lagi pereka akan menyertai delegasi Persatuan Peniagawati ke Couture Fashion Week New York (CFWNY), New York, awal bulan depan.

Erma akan membawa 12 koleksi persalinan di bawah jenama Mak Cun untuk diperagakan pada acara di Times Square, New York pada 6 September ini.

Katanya, adiknya, Datin Umie Aida yang membawa watak Manisah dalam drama Mak Cun, dipilih sebagai 'muse' untuk jenama berkenaan.

"Selain membawa rekaan dan produk termasuk beras perang, saya dan pasukan produksi Mak Cun akan menjalani penggambaran di New York sebelum ke Niagara Falls dan Las Vegas," katanya.

6827 dibaca
Berita Harian X