Selasa, 15 Ogos 2017 | 8:22pm
AHLI Persatuan PTVM membaca ikrar pencegahan rasuah disaksikan oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Samad Kasah (lima kiri, depan) pada Majlis Taklimat dan Dialog SPRM di Pawagam Mini P.Ramlee FINAS. - Foto Saifullizan Tamadi
PENGARAH Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Samad Kasah (tengah) menerima ikrar dari ahli Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) pada Majlis Taklimat dan Dialog SPRM di Pawagam Mini P.Ramlee FINAS. - Foto Saifullizan Tamadi

'Jangan beri atau terima suapan'

HULU KLANG: Lebih 50 ahli Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) melafazkan Ikrar Basmi Rasuah (IBR) dan menyertai Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bacaan ikrar itu diketuai Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosli, pada majlis taklimat mengenai peranan SPRM oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Samad Kasah.

Majlis yang berlangsung di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), di sini, turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Pada sesi taklimat, Samad meminta penerbit TV membendung amalan memberi atau menerima sebarang bentuk suapan terutama dalam konteks mendapatkan kelulusan program untuk disiarkan.

"Jika penerbit diminta membayar sejumlah wang, namun belum melakukannya, bolehlah berjumpa dengan pegawai SPRM. Maklumat yang diberi pengadu akan dilindungi.

"Saya mengajak semua penerbit TV supaya teguhkan hati dan bersatu memerangi amalan rasuah," katanya.

Sebelum ini, Jurey pernah membangkitkan isu wang suapan atau 'duit tepi' yang didakwa berlaku dalam industri kreatif dan meminta pihak terbabit tampil mengemukakan maklumat.

Sementara itu, Mesyuarat Agung Tahunan PTVM Ke-10 bagi sesi 2017-2020 mengumumkan Jurey menang tanpa bertanding sebagai Presiden PTVM bagi penggal keempat berturut-turut.

295 dibaca
Berita Harian X