Selasa, 15 Ogos 2017 | 6:06pm

'Tiket gelap' konsert Bruno Mars

KUALA LUMPUR: Tidak sampai beberapa jam penganjur Konsert Bruno Mars mengumumkan tiket habis dijual dalam tempoh 45 minit, bermula semalam juga sudah ada pihak yang menjualnya semula pada harga berkali-kali ganda lebih tinggi.

Menerusi dua laman sesawang, dipaparkan tiga kategori tempat duduk dijual bermula dengan harga RM4,256, RM2,833.65 dan RM1,904 sedangkan kadar asal hanya RM888, RM598 dan RM398.

Mengejutkan apabila masih ada peminat tegar penyanyi 24K Magic itu sanggup membayar berlipat kali ganda daripada harga jualan oleh My Ticket Asia serta PR Worldwide selaku penganjur.

Biar pun ramai yang mengeluh berdepan situasi sebegini kerana mereka yang mahu untung atas angin 'merembat' dulu tiket di pasaran, keadaan sama seperti ketika jualan tiket Coldplay, baru-baru ini, tetap berlaku.

Sikap tidak mengapa serta sanggup berbelanja lebih semata-mata enggan melepaskan peluang mengikuti persembahan mega penyanyi pujaan yang mungkin hanya datang sekali ke sini membuat sentiasa ada permintaan terhadap 'tiket emas' ini.

Terdahulu, menerusi kenyataan media yang dikeluarkan PR Worldwide, mereka menasihatkan orang ramai peminat supaya tidak mendapatkan tiket daripada pihak tak sah.

"Bagi peminat yang tidak berjaya membeli tiket lagi, jangan dapatkannya daripada ulat tiket atau laman sesawang yang bukan daripada pihak kami bagi mengelakkan sebarang kesulitan," katanya.

Menerusi makluman sama, PR Worldwide juga meminta peminat terus mendapatkan maklumat mengenai sebarang perkembangan terkini mengenai kemungkinan penambahan tiket sama ada menerusi laman web syarikat berkenaan mahu pun Facebook rasmi mereka.

Sementara itu, konsert The Bruno Mars 24K Magic World Tour ini dijadualkan menjelajah Asia bermula Mei tahun 2018 dengan membabitkan dua destinasi saja iaitu di Manila, Filipina dan Kuala Lumpur, Malaysia.

499 dibaca
Berita Harian X