Isnin, 20 Ogos 2018 | 3:31pm
BEN Ali dan Nadiyah bakal melangsungkan perkahwinan di Singapura, November depan. Foto: Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Lelaki itu bukan saya - Ben Ali

KUALA LUMPUR: Gara-gara foto yang dimuat naik Elfira Loy bersama seorang lelaki di laman Instagramnya, semalam, tanpa semena-mena nama pelakon dan ahli perniagaan, Ben Ali terpalit sama apabila dikaitkan sebagai jejaka itu.

Mengakui agak terkejut apabila namanya dikaitkan sebagai lelaki dalam foto itu, Ben bagaimanapun, enggan melatah, sebaliknya menganggap ia hanya salah faham memandangkan dirinya sudah bertunang.

“Mungkin kerana raut wajah kami yang dikatakan hampir seiras, membuatkan ramai menganggap jejaka itu adalah saya. Tetapi, ingin saya tegaskan di sini, jejaka itu bukan saya,” kata tunang kepada pelakon kelahiran Singapura, Nadiyah Shahab.

Ben yang bertunang dengan Nadiyah pada 13 Januari lalu berkata, mereka akan melangsungkan perkahwinan pada November depan.

“Kami akan bernikah pada 10 November di Singapura, disusuli majlis resepsi di ibu kota pada 17 November,” katanya.

Sementara itu, usaha BH Online mendapatkan kepastian daripada Elfira mengenai identiti lelaki di sebelahnya tidak membuahkan hasil. Selesa merahsiakan dulu perkara itu, Elfira bagaimanapun, menafikan dia cuba melakukan gimik.

“Saya tak mainlah gimik sebegitu. Tidak ada apa lagi yang perlu dikongsi,” katanya ringkas.

Elfira menerusi foto yang dimuat naik bersama kapsyen, ‘buang kebencian, lahirlah kebahagiaan’ mencetuskan pelbagai spekulasi, malah ada peminat mengandaikan bekas tunang penyanyi, Sufian Suhaimi sudah menemui pengganti.

Foto itu mendapat lebih 150,000 tanda suka dan hampir 600 komen, termasuk daripada mereka yang mendoakan kebahagiaannya.

4404 dibaca
Berita Harian X