Sabtu, 14 April 2018 | 4:36pm
ZAHIRAH Macwilson tampil memberi bayangan seolah-olah ikatan cinta dengan Zul Ariffin sudah terlerai. - Foto NSTP

Cinta Zahirah, Zul Ariffin terlerai?

KUALA LUMPUR: Ketika hubungannya dengan pelakon, Zul Ariffin, terus menjadi teka-teki, Zahirah Macwilson tampil memberi bayangan seolah-olah ikatan cinta mereka sudah terlerai.

Dalam pertemuan bersama BH Online, pelakon Duda Pujaan Dara itu berkata, saat ini tiada apa lagi perlu dibangkitkan antara mereka.

Bahkan, pelakon berusia 23 tahun ini juga berasakan, cerita peribadi itu tidak perlu diungkit lagi dan dia sendiri sudah membuangnya jauh dari minda.

"Tiada apa lagi yang hendak diragui mengenai status saya. Begitu juga tidak perlu lagi hendak ditanya sama ada hati ini sudah dimiliki atau sebaliknya.

"Dalam bahasa lebih mudah, boleh dikatakan, kini saya tidak perlu menjaga hati sesiapa. Semua hal yang remeh saya tolak ke tepi. Ia tak penting lagi.

"Masing-masing ada kerja dan tanggungjawab. Jika saya hendak bercakap lebih-lebih pun, rasanya tidak manis kerana perkara itu turut membabitkan insan lain. Jadi, lebih baik saya diam dan tak perlu nak ungkit lagi hal ini," katanya.

Sejak hujung tahun lalu, kisah percintaan Zahirah dengan bintang J Revolusi itu kembali hangat diperkatakan apabila dirinya turut dikaitkan dalam kemelut perhubungan pasangan pelakon, Kamal Adli dan Emma Maembong.

Status hubungan mereka juga menjadi tanda tanya apabila bapa Zahirah, Zainol Macwilson, baru-baru ini dilaporkan berkata, selagi dirinya masih hidup dia tidak merestui percintaan anaknya dengan aktor berkenaan.

Bagi Zahirah, 2018 menjadi ruang untuknya kembali fokus kepada kerjaya seni.

"Buat sementara waktu ini, saya mahu katakan tidak kepada cinta. Kalau boleh juga, saya tak mahu lagi dihimpit gosip atau kontroversi.

"Namun, pada masa sama saya cukup memahami, perkara seperti itu bukannya boleh dikawal atau dielakkan. Dalam industri ini, kita kena berdepan dengan perkara sedemikian. Cuma pada akhirnya, ia tetap berbalik kepada cara kita menanganinya.

"Setakat ini, rasanya apa yang saya lalui tidaklah seteruk mana. Sudah resam menjadi artis, saya kena telan cerita panas sedemikian. Ia mungkin nampak teruk di mata orang luar mahupun netizen. Tapi, saya tetap mempunyai pilihan sendiri, untuk terus menjadi kuat dan memajukan diri," katanya.

12760 dibaca
Berita Harian X