Selasa, 6 Februari 2018 | 8:12pm
SYAMEL ketika hadir pada sidang media bersama artis Rocketfuel Entertainment di Pavilion KL. - Foto Mahzir Mat Isa

Panggilan 'sayang' hanya gurauan - Syamel

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Syamel, menyangkal dakwaan kononnya beliau menjalinkan hubungan cinta dengan rakan duet, Ernie Zakri.

Bintang kelahiran Akademi Fantasia 2015 itu berkata, panggilan 'sayang' yang digunakan untuk penyanyi wanita itu sekadar gurauan, apatah lagi mereka berkawan baik.

"Mungkin ada orang terdengar saya memanggil Ernie menggunakan perkataan sayang, tetapi ia sekadar gurauan sesama kawan.

"Ia bukan bermakna saya menolak jodoh. Namun, seperti sering dikatakan, saya sendiri belum tahu dengan siapa jodoh saya.

"Saya seorang yang peramah dengan sesiapa saja, tidak kiralah lelaki mahupun perempuan, jadi janganlah ambil serius perkara terbabit.

"Fokus saya sekarang lebih kepada persiapan menghadapi pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32, Ahad ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran muzik video artis Rocketfuel Entertainment, di sini hari ini.


PENYANYI, Syamel dan Ernie Zakri, berkawan baik selepas sama-sama terbabit dalam program Duo Star serta berduet menerusi lagu Aku Cinta. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Artis berbakat berusia 24 tahun itu juga sempat berpesan, biarlah sesebuah cerita yang dikongsi mempunyai asasnya dan keluar daripada mulut beliau sendiri.

Sebelum ini, tersiar gosip mengatakan kedua-dua penyanyi itu semakin intim, malah penyanyi lelaki itu juga memanggil Ernie dengan panggilan 'sayang'. Malah, ada berita mengatakan kononnya dua artis terbabit juga sudah bertemu keluarga masing-masing.

"Apabila cerita sebegini timbul, ibu saya ada bertanya, kenapa sampai jadi macam ini? Malah, keluarga Ernie juga bertanya kepadanya mengenai perkara itu. Sebenarnya, tidak timbul isu saya dan Ernie sudah bertemu keluarga masing-masing kerana hubungan kami sekadar kawan serta rakan duet.

"Saya memang menganggap gosip sebagai perkara biasa dalam dunia hiburan, tetapi biarlah berasas. Kalau tidak yakin, sila bertanya. Saya sendiri bertanya kepada Ernie, bagaimana perkara ini boleh timbul? Dia sendiri pun tidak tahu," katanya yang berduet dengan artis wanita itu menerusi lagu Aku Cinta.

Selain lagu duet berkenaan, Syamel juga akan berentap di pentas AJL 32 di Arena Axiata Bukit Jalil, 11 Februari ini, atas tiket dendangan solonya, Lebih Sempurna.

Penyanyi yang kini muncul dengan single baharu berjudul Biar Cinta itu bagaimanapun mengaku selesa dengan Ernie, apatah lagi sebelum ini mereka sama-sama terbabit dalam program Duo Star dan kemudian berduet pula menerusi lagu ciptaannya.

"Sekarang, kami memang kerap berjumpa kerana perlu membuat persiapan menghadapi AJL 32. Soal jodoh pula, biarlah dulu. Saya mahu fokus kepada kerjaya dan mengumpul aset untuk diri sendiri terlebih dulu," katanya.

2418 dibaca
Berita Harian X