Rabu, 22 November 2017 | 3:17pm
LAN Kristal. - Foto Aswadi Alias.

'Nanti saya jawab'

KUALA LUMPUR: Vokalis Kristal, Lan, memohon dirinya diberikan ruang bagi membolehkan beliau fokus terhadap persembahan untuk konsert Gegar Vaganza (GV) musim keempat, Ahad ini.

Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, berkata buat waktu ini beliau enggan memberikan ulasan lanjut berhubung kenyataan pemain gitar kumpulan terbabit, Rody, yang mahu merehatkan dirinya selain berusaha mencari vokalis baharu.

"Maaf, saya terlalu sibuk dengan penggambaran kapsul GV. Minggu ini, tugasan saya agak mencabar dan saya perlu memberi fokus sepenuhnya untuk persembahan ini terlebih dulu.

"Insya-Allah, selepas selesai persembahan, jika saya dipanggil untuk ke sidang media konsert minggu kelima nanti, saya akan menjawab soalan media. Maafkan saya sekali lagi," katanya kepada BH Online.

Semalam, menerusi entri di laman sosial peribadi, Rody berkata, Kristal mahu merehatkan Lan selepas mempertimbangkan nasihat orang lama, sekali gus membolehkan mereka mengadakan uji bakat mencari penyanyi baharu.

Difahamkan, entri terbabit dikongsi pemuzik berkenaan selepas vokalis berusia 32 tahun itu menyatakan mahu mengembangkan kerjaya solo, selain enggan tertumpu pada genre rock saja.

Lan juga didakwa membelakangkan anggota lain apabila menyertai pertandingan GV musim terkini, tanpa berbincang terlebih dulu dengan mereka.

Selain Lan dan Rody atau nama penuhnya Muhamad Rodi Baharudin, kumpulan yang ditubuhkan sejak 1999 itu kini turut membariskan Mohd Nur Asraf Baharuddin (Asraf) dan Muhammad Afifi Nor Mohammad (Afifi).

Bersama-sama Kristal, Lan popular dengan lagu seperti Delaila, Resam Pak Belalang, Seragam Hitam, Keindahan Pantai dan banyak lagi.

7606 dibaca
Berita Harian X