Khamis, 5 Oktober 2017 | 11:47am
JANNA Nick pada sidang media drama 'Dia' di Bandar Utama.- Foto Mahzir Mat Isa

Janna nafi lakon babak cium

PETALING JAYA: Pelakon, Janna Nick, menegaskan tidak wujud sebarang babak bercium membabitkan beliau dan pelakon gandingannya dalam drama, Coffee Prince, Fattah Amin, seperti dihebohkan netizen baru-baru ini.

Menurut Janna, 22, lakonan yang dilihat menerusi video 15 saat itu sekadar babak komedi dan bukannya adegan romantis menonjolkan perasaan ghairah antara dua insan bercinta seperti yang didakwa.

"Video itu mungkin menimbulkan kontroversi kerana dari sudut ia dirakam seolah-olah menampakkan kami sedang bercium, walhal saya dan Fattah tidak bersentuhan langsung. Babak itu kelakar sebenarnya dan bukan untuk menunjukkan rasa gersang atau detik manis percintaan kami.

"Kalau hendak diikutkan, sebelum ini pun ada babak lebih memberahikan pernah saya lakonkan, seperti berpeluk, kerana ia jelas menonjolkan perasaan sayang.


IZARA Aishah (kanan) Janna Nick, Sandrinna, Irwansyah bergambar bersama peminat pada sidang media drama 'Dia' di Bandar Utama. - Foto Mahzir Mat Isa

"Sedangkan dalam drama Coffee Prince, tiada langsung babak seperti itu. Jadi, saya terkejut apabila ia menjadi bahan kecaman netizen," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama rantaian, Dia, di sebuah pusat beli-belah, di sini.

Pada majlis terbabit, Janna dan barisan pelakon drama yang bakal disiarkan di TV3 mulai 14 Oktober ini, seperti Irwansyah dan Izara Aishah, turut beramah-mesra dengan peminat.

Ditanya apakah beliau menyimpan rasa marah terhadap pelakon baharu yang juga sahabat karibnya, Fara Mendoza, kerana menjadi punca video yang dimuat naik di Insta Story miliknya tersebar, Janna enggan memperbesarkan perkara itu.

"Saya tak rasa dia mempunyai niat nak sabotaj saya apabila memuat naik video itu. Saya faham benar perangainya. Cuma, apabila dapat tahu video yang dimuat naik itu tersebar, saya terkejut juga. Begitupun, tak adalah sampai nak suruh dia padam sebab pada saya, video itu tidaklah melampau sangat," ujar Janna.

5326 dibaca
Berita Harian X