Isnin, 25 September 2017 | 6:36pm
PELAWAK Shahrol (Shiro) bersama isteri, Nor Farhanah Syamimi. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Perkongsian disalah erti

KUALA LUMPUR: Isteri kepada pelawak Shahrol (Shiro), Nor Farhanah Syamimi, mengaku serba salah dengan tindakannya memuat naik perkongsian meluahkan kemarahan di Instagram.

Farhanah atau lebih dikenali sebagai Anna Danisha, 27, berkata status berkenaan bukan ditujukan kepada suaminya, namun ia disalah tafsir netizen kononnya rumah tangga mereka sedang dilanda badai.

"Status itu bukan ditujukan kepada Shahrol. Ia dimuatnaik buat rakan perempuan saya. Serba salah dibuatnya apabila perkongsian itu membuatkan orang ramai berfikiran buruk terhadap suami.

"Malah, mama Shahrol (ibu mentua) turut bersedih dengan isu ini sedangkan Shahrol tidak tahu apa-apa," katanya kepada BH Online.

Farhana, yang juga pengurus Shahrol mengulas mengenai beberapa status di laman sosial miliknya, yang seperti membayangkan ada orang ketiga cuba mengganggu rumah tangga mereka.

Status itu membuatkan ramai yang bengang dengan Shahrol sambil menyifatkan pelawak itu tidak patut menduakan isterinya.

Bagaimanapun, Shahrol ketika menjelaskan perkara itu kepada sebuah portal berkata, ia hanya salah faham dan tiada masalah di antara dirinya dengan isteri.

Farhana berkata, Shahrol bagaimanapun tidak memarahi beliau, sebaliknya hanya memberikan nasihat agar tidak mengulangi lagi perkara itu.

"Shahrol bukan seorang yang mudah marah dengan perkara kecil seperti ini. Tetapi, dia menasihati saya supaya lebih berhati-hati dalam memuat naik status, apatah lagi dia seorang yang dikenali. Masyarakat akan sentiasa memerhati.

"Apa yang berlaku memberi pengajaran yang besar buat saya untuk lebih berhati-hati selepas ini," ujarnya.

Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, 32, dan Nor Farhana berkahwin pada 18 Mac 2016 di Kluang, Johor. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki pada 10 Februari lalu.

Sebelum ini, Shahrol pernah mendirikan rumah tangga pada 2008 dan dikurniakan seorang anak, Muhd Adam Danish, 8 tahun.

22656 dibaca
Berita Harian X