Isnin, 18 September 2017 | 2:37pm
NATASHA Elyzza memohon maaf berhubung isu video aksi 'panas' bersama aktres Fathia Latiff.

Mohon maaf isu video

KUALA LUMPUR: Natasha Elyzza yang dikaitkan dengan isu video aksi 'panas' membabitkan wanita mirip Fathia Latiff memohon maaf berhubung penyebaran rakaman itu melalui media sosial.

Pelakon baharu itu menyesal atas apa yang berlaku malah menyifatkan insiden itu tidak bijak.

"Maafkan atas apa yang sudah saya lakukan. Ia perkara bodoh dan saya belajar daripada kesilapan itu.

"Saya mengaku, saya sudah menconteng arang di muka ramai orang. Namun, tidak semua tahu cerita yang sebenar," katanya meluahkan perasaan pada laman Instagram miliknya.

Sejak beberapa hari lalu, tersebar rakaman video melalui aplikasi Bigo Live milik Natasha yang antara lain memaparkan dirinya bersama seorang wanita yang terdedah sebahagian daripada tubuhnya.

Rakaman video itu mencetuskan kontroversi kerana wanita terbabit dikatakan mirip Fathia. Bintang Ariana Rose itu terus hangat apabila pembabitannya dalam drama La Luna terbitan TenView Sdn Bhd ditamatkan serta merta.

Produksi mengambil keputusan itu atas alasan Fathia mempunyai masalah salah laku hingga menyukarkan penggambaran.

Malam tadi, melalui rakaman langsung di Instagram, Fathia memohon maaf dan meminta dirinya tidak difitnah.

Tampil menjernihkan suasana, Natasha mengaku membuat kesilapan apabila membuka video aplikasi Bigo itu.

"Saya tahu ramai yang marahkan saya. Diharap, anda semua dapat memaafkan saya dan beri peluang untuk saya perbaiki diri," katanya.

19839 dibaca
Berita Harian X