Sabtu, 9 September 2017 | 2:22pm
PENYANYI, Sophia Liana atau nama sebenarnya Sophiatul Liana Mohamed Sobri. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Sophia tak kecil hati

KUALA LUMPUR: Ketika dua sahabatnya dalam De Fam, Azira Shafinaz dan Cik Manggis bergerak semakin laju dalam dunia lakonan, Sophia, 27, pula tidak kisah namanya ditenggelami populariti teman seperjuangannya.

Biarpun menerima tawaran untuk mengorak langkah dalam bidang yang sama, Sophia sebaliknya lebih selesa memberi fokus terhadap muzik yang menjadi cinta pertamanya.

Sophia atau nama penuhnya, Sophiatul Liana Mohamed Sobri berkata, muzik sudah menjadi sebahagian daripada dirinya sejak di bangku sekolah.

Turut berjinak-jinak dalam seni penulisan lirik, Sophia juga nekad tidak akan bergerak sendiri selagi Azira dan Cik Manggis masih setia dengan perjuangan mereka.

"Saya tidak mungkin bergerak solo, sebaliknya akan tetap teruskan kerjaya muzik bersama De Fam. Saya hanya akan memikirkan perancangan sendiri sekiranya Azira dan Cik Manggis memilih untuk memberi fokus kepada lakonan.

"Ketika ini, kami masih bersama walaupun mereka sibuk dengan komitmen lain. Mereka memahami, malah cuba menyusun jadual kerja supaya tidak mengganggu perjalanan karier De Fam. Andai kata nanti De Fam terpaksa berpisah, kami akan lakukannya secara terhormat tanpa perlu ada persengketaan.

"Kami bermula dari bawah, malah De Fam terbentuk daripada gabungan nama kami bertiga. Kami sudah bersama hampir tujuh tahun sebelum De Fam ditubuhkan, tiga tahun lalu," katanya.

Pernah mencuba dengan membawakan watak sampingan dalam drama Mr Donut Karamel bersama Azira, Sophia memilih untuk tidak berlumba mengejar tawaran berlakon. Baginya, setiap tawaran yang datang diterima sebagai rezeki untuk mengekalkan jenama De Fam.

"Saya lebih suka kami melakukannya bersama-sama. Kami bermula sebagai penari latar, seterusnya mencuba nasib sebagai penyanyi bertiga. Apabila berlakon, saya juga mahu kami mencipta nama bersama-sama.

"Saya turut meminati bidang lakonan, cuma tidak meletakkannya sebagai keutamaan," katanya.

6994 dibaca
Berita Harian X