Sabtu, 19 Ogos 2017 | 5:07pm
(Dari kiri) Pelakon, Idris Khan, Raysha Rizrose dan Azrel Ismail di Karnelin, Seksyen 7, Shah Alam. - Foto Aziah Azmee

Tiada cinta Azrel-Raysha

KUALA LUMPUR: Pelakon Azrel Ismail menafikan, menjalin hubungan istimewa dengan gandingannya dalam drama rantaian, Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin, Raysha Risrose meskipun mereka sering dilihat berdua-duaan.

Pelakon yang mencipta nama menerusi drama Syurga Nur itu berkata, mereka hanya rapat sebagai rakan kerana sering terbabit menjayakan promosi secara bersama-sama.

"Memang kami rapat, malah sering dilihat bersama-sama di luar lokasi penggambaran tetapi semua itu atas urusan promosi drama.

"Tidak timbul istilah cinta lokasi kerana di antara kami memang tiada hubungan istimewa," katanya.

Anak kelahiran Taiping, Perak itu mengakui, serasi bekerjasama dengan Raysha meskipun baru kali pertama mereka bergandingan.

Azrel berkata, Raysha begitu profesional, dan sentiasa membantunya sepanjang dua bulan di lokasi penggambaran.

"Sikap positifnya membuatkan saya selesa dan tidak akan menolak, jika terus digandingkan dalam produksi lain.

"Mungkin kerana sudah saling mengenali, kami tidak mempunyai masalah untuk melunaskan tuntutan watak. Biarpun rapat, kami tidak bercinta," katanya.

Ditanya mengenai keghairahan segelintir pelakon dan produksi drama yang menggunakan gimik cinta untuk menarik perhatian peminat, Azrel berkata, formula itu tidak akan bertahan lama malah, lambat-laun memualkan khalayak.

"Saya lebih percaya kerja keras dan disiplin pelakon menjadi antara faktor penting yang membantu memantapkan keberkesanan sesebuah produksi.

"Jika semua yang terbabit dalam sesebuah produksi memberikan kerjasama yang baik, ini akan membantu menaikkan kualiti penerbitan," katanya.

Azrel sebelum ini, pernah dikaitkan menjalin cinta dengan pelakon genit, Ruhainies tetapi menafikan dia bakal menamatkan zaman bujangnya.

4305 dibaca
Berita Harian X