Isnin, 31 Julai 2017 | 5:47pm

Aliff mengaku bersalah keluar dengan Afifah

SHAH ALAM: Pelakon dan penyanyi kontroversi, Aliff Aziz, mengaku bersalah menyakitkan hati isterinya, Bella Astillah, apabila keluar dengan pelakon baharu, Afifah Nasir.

Malah, bintang kelahiran Singapura itu turut meminta maaf kepada isteri, ahli keluarga dan peminat kerana kesalahannya itu.

Beliau juga mengharapkan pelakon wanita berkenaan, yang juga adik kepada Anzalna Nasir, akan melakukan tindakan sama sepertinya.

"Saya dan dia tahu apa yang berlaku sebenarnya. Jika saya boleh mengaku kekhilafan diri dan memohon maaf, sekali gus berdepan dengan semua pihak termasuk keluarga dan rakan media, dia juga sewajarnya melakukan perkara sama andai berasakan dirinya bersalah.

"Tak perlu nak menegakkan benang yang basah. Kita sama-sama buat silap dan kebenaran akan terserlah juga akhirnya," katanya pada sidang media yang diadakan di Bukit Jelutong, hari ini.

Aliff tampil memberikan penjelasan berkenaan selepas ditahan polis, Jumaat lalu, atas dakwaan mengasari isterinya dalam satu insiden di sebuah premis hiburan, ketika berdua-duaan dengan Afifah.

Aliff dan Afifah dikatakan mula intim selepas bergandingan menerusi drama Izinku Aku Mencintaimu.

Akibat kejadian pada petang Khamis itu, Bella membuat laporan polis di Cheras.

Selepas dua malam ditahan di Balai Polis Dang Wangi, artis terbabit akhirnya dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu lalu.

Bella juga menarik balik aduannya pada hari sama Aliff dibebaskan.

"Saya berterima kasih kerana isteri memberikan saya peluang kedua.

"Malah, saya juga menafikan dakwaan diri ini membelasah dan memukul isteri. Sebaliknya, kami hanya bergelut hingga tercetus tindakan mengasari isteri.

"Saya juga berharap selepas ini takkan ada lagi kenyataan atau maklumat bercanggah kerana saya sudah berkongsi kesemuanya dengan media," katanya.

Terdahulu, Bella menerusi kenyataannya sanggup memaafkan Aliff demi anak mereka, Mohamad Ayden Adrean, yang dilahirkan 8 Julai lalu.

"Saya lega dengan penjelasan Aliff, namun tipulah jika saya katakan sudah kembali gembira. Sebagai wanita, kita semua mempunyai perasaan. Luka itu masih berdarah, namun saya kena fikir ke depan, termasuklah anak saya.

"Saya berharap semua orang dapat mendoakan semoga Aliff tidak melakukan kesilapan sama dan sedar dengan apa yang terjadi, yang sudah menghancurkan segala-galanya, termasuk kepercayaan saya kepadanya," kata Bella yang berkahwin dengan artis berkenaan pada September tahun lalu.

Bella berharap, sedikit demi sedikit suaminya itu mampu mengembalikan semula keyakinan beliau terhadapnya dan dirinya sendiri akan cuba menjalani kehidupan seperti biasa selepas ini.

17818 dibaca
ARTIS, Aliff Aziz (kiri) bernama Isteri, Bella Astillah pada sidang media berhubung insiden rumah tangga mereka baru-baru ini di Roof Garden Hotel, Bukit Jelutong. - Foto Osman Adnan
Berita Harian X