Sabtu, 14 April 2018 | 9:11am
DARI kiri Javier Ortega, Paul Rivas dan Efrain Segarra. - Foto AFP

2 pengamal media diculik pemberontak Colombia disahkan mati

QUITO (ECUADOR) : Dua petugas media dan pemandu mereka yang diculik kumpulan pemberontak Colombia 26 Mac lalu disahkan sudah mati dibunuh.

Serentak dengan itu, kerajaan Colombia menggerakkan operasi ketenteraan bagi memburu kumpulan penculik itu termasuk ke kawasan hutan di bahagian sempadan yang menjadi kubu pemberontak Pasukan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC).

Kawasan berkenaan juga adalah laluan utama sindiket perdagangan dadah khusus bagi rantau Amerika Tengah dan Amerika Syarikat.

Pembunuhan itu ialah kes pertama seumpamanya di Ecuador dalam tempoh tiga dekad dan ia menggemparkan seluruh negara yang selama ini jarang berdepan dengan keganasan membabitkan sindiket pengedaran dadah di Colombia.

Ketiga-tiga mangsa bertugas di akhbar terkenal El Comercia dan diculik ketika sedang membuat liputan mengenai keganasan di kawasan sempadan, membabitkan pertempuran antara pasukan keselamatan Ecuador dan pemberontak Colombia yang terbabit dalam sindiket penyeludupan dadah.

Wartawan berkenaan, Javier Ortega, 32, jurugambar Paul Rivas, 45 dan pemandu mereka, Efrain Segarra, 60 diculik di kawasan Mataje, iaitu sempadan Ecuador dan Colombia.

Presiden Ecuador, Lenin Moreno sebelum ini memberi tempoh 12 jam kepada penculik untuk memberikan bukti mangsa masih hidup namun ia berakhir dengan pengumuman kematian mereka, semalam. - AFP

875 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »