Jumaat, 12 Januari 2018 | 4:46pm

Pendaki Austria ditemui mati selepas hilang 10 hari

KATHMANDU : Seorang pendaki Austria ditemui mati di banjaran Himalaya ketika cuba mendaki puncak Gunung Everest secara solo, sekali gus menjadi mangsa pertama sejak peraturan baharu melarang pendakian solo dikuatkuasakan.

Pendaki berusia 41 tahun itu dipercayai meninggal dunia akhir tahun lalu selepas terjatuh dari curam ketika mendaki puncak Gunung Lobuche dari arah timur pada ketinggian 6,119 meter yang terletak bersebelahan Gunung Everest.

Pengarah Ekspedisi Ramdung merangkap penganjur pendakian, Raju Dong Lama, berkata mangsa sebelum itu meninggalkan jurupandu di salah sebuah kem dan merancang meneruskan pendakian ke puncak secara solo.

"Jurupandu tidak menyedari ditinggalkan mangsa dan menunggu sehingga jam 2.30 pagi sebelum akhirnya menyedari mangsa tidak muncul. Dia kemudian melaporkan kejadian berkenaan sebaik turun ke Kampung Lobuche," katanya.

Raju berkata, misi mencari dan menyelamat di bahagian darat serta udara menggunakan helikopter mengambil masa 10 hari sebelum berjaya menemui mayat mangsa.

Bermula akhir tahun lalu, Nepal memperkenalkan undang-undang baharu melarang pendakian solo ke Gunung Everest bagi menjadikan aktiviti itu lebih selamat dan mengurangkan kadar kematian dalam kalangan pendaki. - AFP

693 dibaca
Berita Harian X