Rabu, 11 Oktober 2017 | 6:51am
Sebahagian rumah peneroka haram Israel di jajahan Tebing Barat. - Foto AP

Israel bina 4,000 rumah peneroka haram

BAITULMAQDIS: Israel dijangka memajukan rancangan membina hampir 4,000 rumah peneroka haram di jajahan Tebing Barat sebagai antara usaha meningkatkan pertumbuhan penempatan.

Seorang pegawai Israel berkata, kelulusan itu termasuk unit di bandar utama Tebing Barat di Hebron, kali pertama sejak beberapa tahun.

Pegawai yang enggan dikenali itu berkata, sebanyak 3,736 unit rumah akan diluluskan dalam pelbagai peringkat perancangan dan pembinaan.

Beliau bagaimanapun tidak memberi tempoh atau pecahan tepat, namun berkata penempatan itu akan dibina di seluruh Tebing Barat termasuk Hebron dan Migron serta Beit El berhampiran Ramallah.

"Secara keseluruhan, kira-kira 12,000 unit penempatan akan diluluskan pada 2017 di pelbagai peringkat perancangan dan pembinaan, empat kali ganda jumlah tahun lalu," katanya.

Israel berdepan kritikan hebat ketika pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama berhubung pembinaan penempatan, namun ia berbeza dengan penggantinya, Donald Trump.

Media Israel berkata, majlis perancang dijangka bertemu minggu depan untuk meluluskan sekurang-kurangnya sesetengah daripada pelan terbabit.

Akhbar harian Haaretz berkata, jika penempatan Hebron diluluskan, ia adalah kali pertama untuk bandar selatan Tebing Barat sejak 2002.

Hebron dihuni kira-kira 200,000 rakyat Palestin dengan 800 peneroka tinggal dalam perlindungan tentera Israel di beberapa penempatan dikawal ketat di tengah bandar. - AFP

1119 dibaca
Berita Harian X