Ahad, 8 Oktober 2017 | 7:57am
Pengawal diraja mengawal pintu istana. - Foto online

Lelaki Arab Saudi tembak mati 2 pengawal diraja

RIYADH: Seorang lelaki bersenjata menembak mati dua pengawal diraja dan mencederakan tiga yang lain di pintu pagar istana di Jeddah.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, lelaki warga Arab Saudi berusia 28 tahun yang bersenjatakan Kalashnikov dan tiga bom petrol itu ditembak mati pengawal diraja selepas melancarkan serangan.

"Seorang lelaki keluar daripada sebuah kereta dan terus melepaskan tembakan ke arah pos kawalan diraja," menurut satu kenyataan yang disiarkan agensi Saudi Press.

Menurut kenyataan itu, serangan lelaki terbabit menyebabkan dua pengawal terbunuh dan pengawal lain bertindak balas terhadap penyerang.

Terdahulu, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Arab Saudi memberi amaran kepada rakyatnya berhubung serangan terbabit.

Amaran itu dikeluarkan sejurus selepas polis Arab Saudi menyerbu tempat persembunyian pengganas yang dipercayai mempunyai kaitan dengan militan Daesh minggu ini yang mana dua terbunuh dan lima lagi ditahan. - AFP

13146 dibaca
Berita Harian X