Rabu, 13 September 2017 | 7:16am
ROKET Soyuz MS-06 yang membawa Alexander Misurkin dari agensi angkasa lepas Roscosmos Russia dan anggota Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat, Mark Vande Hei dan rakannya, Joe Acaba, dilancarkan mengikut jadual pada jam 3.17 pagi waktu tempatan. - Foto AFP

3 angkasawan berlepas ke ISS

BAIKONUR: Dua angkasawan Amerika Syarikat (AS) dan seorang dari Russia berlepas ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dari tapak pelancaran di Baikonur, Kazakhstan, awal pagi ini, untuk misi selama lima bulan.

Roket Soyuz MS-06 yang membawa Alexander Misurkin dari agensi angkasa lepas Roscosmos Russia dan anggota Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat, Mark Vande Hei dan rakannya, Joe Acaba, dilancarkan mengikut jadual pada jam 3.17 pagi waktu tempatan.

Selepas kira-kira enam jam perjalanan, kapal angkasa itu dijangka berlabuh kira-kira jam 3 pagi waktu GMT hari ini, dan mereka akan menyertai angkasawan Paolo Nespoli, Sergey Riazanski dan Randy Bresnik yang berada di stesen itu.

Pelancaran itu menandakan kali pertama dua angkasawan AS berlepas bersama dalam misi ke ISS dari Baikunour sejak Jun 2010.

Agensi angkasa lepas AS menghentikan pelancarannya sendiri ke ISS pada 2011 tetapi baru-baru ini bertindak menambah kru di makmal orbit itu ketika Russia mengurangkan staf dalam langkah menjimatkan kos yang diumumkan tahun lalu.

Acaba, 50, menghabiskan 138 hari di angkasa lepas dalam dua misi, manakala Vande Hei, 50, berkhidmat dengan tentera AS di Iraq sebelum menyertai latihan sebagai angkasawan.

Misurkin, 39, yang memulakan misi keduanya di ISS, juga mempunyai latar belakang tentera. - AFP

1903 dibaca
Berita Harian X