Khamis, 10 Ogos 2017 | 12:07am
AHLI keluarga dan rakan mangsa tragedi Hillsborough hadir di Mahkamah Majistret Warrington, hari ini. - Foto AFP

Lima dituduh insiden rusuhan di Hillsborough 1989

WARRINGTON, United Kingdom: Lima individu lelaki yang didakwa terbabit secara langsung dalam insiden rusuhan penyokong di Stadium Hillsborough - mengakibatkan 96 penyokong Liverpool maut tampil di mahkamah buat kali pertama selepas 28 tragedi berlaku.

Lima termasuk tiga daripadanya adalah bekas pegawai polis hadir di Mahkamah Majistret Warrington, di utara England, hari ini.

Defendan berjalan melepasi keluarga dan waris mangsa ketika memasuki mahkamah yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Liverpool.

Selepas 25 minit sesi pendengaran serta urusan pendaftaran, kes itu akhirnya dirujuk kepada Mahkamah Preston Crown di utara England.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan oleh defendan yang cuma mengesahkan butiran mengenai nama, umur serta alamat terkini mereka.

Hakim Daerah, Emma Arbuthnot berkata; "Kamu dirujuk kepada Mahkamah Preston Crown dan pendengaran pertama akan ditetapkan pada 6 September.

"Jika gagal hadir, waran tangkap akan dikeluarkan dan kes akan berjalan tanpa kehadiran kamu. Saya akan pastikan kamu akan datang,"

Kes itu berlaku di laman Sheffield Wednesday di Yorkshire, ketika saingan separuh akhir Piala FA antara Liverpool dan Nottingham Forest, pada tahun 1989,

Mereka dituduh secara berasingan di atas dakwaan menjadi penyebab berlakunya tragedi itu termasuklah aspek kawalan keselamatan serta kegagalan penguatkuasaan dan kaedah membendung rusuhan. - AFP

Berita Harian X