Rabu, 2 Ogos 2017 | 1:20pm

Lebih sejuta kanak-kanak Yaman berisiko dijangkiti taun

LONDON: Lebih sejuta kanak-kanak kekurangan zat makanan berusia bawah lima tahun di Yaman tinggal di kawasan yang mencatatkan paras tinggi taun, kata pertubuhan Save the Children hari ini.

Pertubuhan itu juga mula menghantar lebih pakar pakar ke kawasan paling teruk terjejas.

Peningkatan tindak balas itu dibuat selepas perangkaan terbaru menunjukkan wabak taun yang bermula April 2015 menjangkiti lebih 425,000 penduduk dan meragut hampir 1,900 nyawa.

Pertubuhan itu berkata, kanak-kanak di bawah usia 15 kini merangkumi kira-kira 44 peratus daripada kes baru dan 32 peratus kematian di Yaman yang dilanda krisis perang saudara dan keruntuhan ekonomi yang menyebabkan jutaan penduduk di ambang kebuluran.

"Tragedinya adalah kekurangan zat makanan dan kolera yang mudah dirawat jika ada akses penjagaan kesihatan asas.

"Namun hospital dan klinik musnah, pekerja kesihatan tidak dibayar hampir setahun, dan penghantaran bantuan penting dihalang," kata pengarah pertubuhan bagi Yaman, Tamer Kirolos.

Penularan taun memaksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu mengkaji semula penilaian kemanusiaannya dan kini mengira 20.7 juta warga Yaman memerlukan bantuan, bertambah daripada 18.8 juta daripada 28 juta penduduk. - Reuters

162 dibaca
Berita Harian X