Jumaat, 12 Oktober 2018 | 10:50pm
PADERI Amerika Syarikat, Andrew Brunson. - Foto fail AFP

Mahkamah Turki arah bebaskan paderi AS

ALIAGA: Mahkamah Turki mengarahkan paderi Amerika Syarikat, Andrew Brunson yang menjadi punca pertikaian diplomatik antara Ankara dan Washington dibebaskan.

Perkembangan itu dilihat sebagai langkah pertama ke arah pemulihan hubungan kedua-dua negara sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan setahun setengah terhadap Brunson yang didakwa atas tuduhan keganasan, namun beliau tidak akan dipenjarakan lagi kerana sudah dalam tahanan sejak Oktober 2016.

Saksi berkata, Brunson menitiskan air mata, ketika keputusan itu diumumkan. Sebelum keputusan hakim dibacakan, paderi itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa “Saya tidak bersalah. Saya sayang Tahun, Saya sayang Turki.”

Brunson adalah paderi dari North Carolina yang tinggal di Turki lebih 20 tahun. Beliau ditahan dua tahun lalu sehingga membawa kepada tarif perdagangan AS terhadap Turki dan mencetuskan kemarahan Presiden Donald Trump.

Brunson ditubuh mempunyai hubungan dengan militan Kurdish dan penyokong Fethullah Gulen yang dipersalahkan dalam kudeta gagal pada 2016.

Beliau menafikan tuduhan itu dan Washington menuntut beliau dibebaskan serta-merta. - Reuters

546 dibaca
Berita Harian X