Rabu, 10 Oktober 2018 | 1:08pm
Diplomat Iran berpusat di Vienna dikenal pasti sebagai Assadollah Assadi dengan dakwaan berkomplot serangan bom ke atas perhimpunan pembangkang Tehran di Perancis. - Foto iranhr.net

Diplomat Iran diekstradisi ke Belgium isu komplot bom

BRUSSELS: Seorang diplomat Iran dikaitkan dengan dakwaan komplot serangan bom ke atas perhimpunan pembangkang Tehran di Perancis diekstradisi ke Belgium dari Jerman, kata pendakwa raya semalam.

Diplomat Iran berpusat di Vienna itu, yang sebelum ini dikenal pasti sebagai Assadollah Assadi, ditahan dan bakal didakwa berkaitan kes itu hari ini, kata Pejabat Pendakwa Raya Persekutuan.

Minggu lalu, Iran menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Perancis, seorang daripada diplomatnya terbabit dalam komplot serangan didakwa berlaku sebelum kunjungan Presiden Hassan Rouhani ke Eropah.

Pelan itu menyasar perhimpunan Majlis Penentangan Nasional Iran (NCRI) di pinggir Paris didedahkan beberapa hari sebelum lawatan Rouhani 30 Jun lalu.

Enam orang termasuk Assadi ditahan dalam serbuan terancang pasukan polis Eropah.

Mesyuarat itu juga dihadiri individu penting Amerika Syarikat (AS) termasuk sekutu rapat Presiden Donald Trump.

Iran menuduh kumpulan pembangkang, People’s Mujahedeen of Iran (MEK), yang dianggap Tehran kumpulan pengganas, merancang komplot menyerang Rouhani.

Pihak berkuasa Belgium Julai lalu memohon ekstradisi Assadi dan seorang lelaki dikenali Merhad A, yang ditahan di Paris.

Polis Belgium percaya, Merhad A adalah sekutu pasangan suami isteri ditahan di sini kerana memiliki 500 gram bahan letupan TATP dan peledak. Ketiga-tiganya adalah warga Belgium berasal dari Iran. -AFP

101 dibaca
Berita Harian X