Rabu, 14 March 2018 | 9:54pm
Perdana Menteri, Theresa May memberi taklimat di Dewan Parlimen mengenai reaksi kerajaannya terhadap bekas pegawai perisikan Russia, Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia di Salisbury, London. - Foto REUTERS

Britain usir 23 diplomat Russia

LONDON: Britain mengusir 23 diplomat Russia sebagai tindak balas terhadap serangan toksin saraf ke atas bekas ejen muka dua di selatan England, kata Perdana Menteri Theresa May hari ini, menambah ia adalah pengusiran tunggal terbesar dalam tempoh 30 tahun.

May berkata, Britain akan memperkenalkan langkah baharu memperkukuh pertahanan terhadap aktiviti permusuhan negara itu, membekukan aset di mana ada bukti ancaman dan menurunkan kehadirannya dalam perlawanan bola sepak Piala Dunia di Russia musim panas ini.

Russia, yang berulang kali menafikan sebarang pembabitan dalam serangan agen saraf itu berkata, Britain seharusnya menjangka tindak balas terhadap tindakannya itu.

Bekas perisik, Sergei Skripal, 66, dan anak perempuannya, Yulia, 33, ditemui tidak sedarkan diri di atas bangku di Salisbury pada 4 Mac lalu dan kini kritikal di hospital. Seorang pegawai polis turut cedera dan dalam keadaan serius.

May berkata, kedua-duanya diserang dengan agen saraf gred tentera era Soviet, Novichok. Beliau meminta Moscow menjelaskan, jika ia bertanggungjawab atas serangan itu atau hilang kawalan ke atas bekalan sebatian amat berbahaya terbabit.

"Maklum balas mereka menunjukkan mereka mencemuh serangan itu. Mereka membalas penggunaan agen saraf gred tentera di Eropah dengan sindiran, penghinaan dan penolakan.

"Tiada rumusan alternatif selain kerajaan Russia bertanggungjawab atas cubaan membunuh Skripal dan anak perempuannya serta mengancam nyawa rakyat Britain lain di Salisbury, termasuk Sarjan Detektif Nick Bailey.

"Ini adalah penggunaan kuasa tanpa undang-undang kerajaan Russia ke atas United Kingdom," kata May dalam kenyataan kepada Parlimen.

May berkata, pengusiran 23 diplomat, dikenal pasti sebagai pegawai perisik tidak diisytiharkan adalah pengusiran tunggal terbesar selama lebih 30 tahun dan akan menurunkan keupayaan perisikan Russia di Britain selama bertahun akan datang.

"Kami akan membekukan aset kerajaan Russia bila saja kami memiliki bukti ia mungkin digunakan untuk mengancam nyawa atau harta benda rakyat atau penduduk UK," kata May. -Reuters

1644 dibaca
Berita Harian X