Rabu, 14 March 2018 | 9:19pm

Finland negara paling gembira

VATICAN CITY: Finland adalah negara paling gembira di dunia berdasarkan satu tinjauan tahunan yang diterbitkan hari ini.

Laporan itu meletakkan Burundi dalam senarai terbawah dalam indeks kegembiraan dunia dan mendapati warga Amerika menjadi semakin tidak gembira walaupun negara mereka semakin kaya.

Laporan Kegembiraan Dunia 2018 itu diterbitkan Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Lestari (SDSN) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ia menyenaraikan 158 negara berdasarkan markah untuk kriteria termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita, sokongan sosial, jangka hayat sihat, kebebasan sosial, sikap bermurah hati dan tahap rasuah.

Finland meningkat daripada kedudukan kelima tahun lalu untuk mengatasi Norway pada kedudukan teratas. Senarai itu tahun ini dikuasai negara Nordik termasuk Finland, Norway, Denmark, Switzerland, Belanda, Kanada, New Zealand, Sweden dan Australia.

Amerika Syarikat jatuh pada kedudukan ke-18 berbanding 14 tahun lalu. Britain berada pada kedudukan ke-19 dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada kedudukan ke-20. - Reuters

2081 dibaca
Berita Harian X