;
Isnin, 12 Februari 2018 | 8:10pm
GAMBAR fail, Presiden Palestin Mahmud Abbas ketika menghadiri forum "Persidangan Jerusalem sebagai Modal Pemuda Islam" di bandar Ramallah, Tebing Barat pada 6 Februari 2018. - Foto AFP

Abbas jumpa Putin lobi sokongan

MOSCOW: Presiden Palestin Mahmud Abbas melawat Russia hari ini dalam cubaan mendapatkan sokongan Presiden Vladimir Putin susulan pengiktirafan Washington ke atas Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Pemimpin Palestin itu dijangka melawat ibu kota ini dua minggu selepas kunjungan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Abbas menolak sebarang hubungan dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sejak pengiktirafan itu akhir tahun lalu.

Abbas dijangka berucap di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 20 Februari ini.

Rakyat Palestin melihat keputusan AS yang memecahkan bertahun diplomasi antarabangsa sebagai menafikan tuntutan mereka terhadap Timur Baitulmaqdis sebagai ibu kota akan datang mereka.

Israel mengambil alih kawalan Timur Baitulmaqdis dalam Perang Enam Hari 1967, mendudukinya dan kemudian mengisytiharkannya sebagai ibu kota Israel.

Seorang pakar Asia Barat di Institut Kajian AS dan Kanada, Alexander Shumilin menggelar kunjungan Abbas 'cubaan merapatkan diri dengan Russia, sekutu konsisten dan menghentikan Netanyahu daripada menyesatkan Moscow ketika peningkatan hubungan Russia-Israel.'

Netanyahu melawat Russia 29 Januari lalu dan bersama Putin menghadiri upacara peringatan di muzium Yahudi di sini untuk mangsa kem Nazi.

Bagi Shumilin, kunjungan hari ini 'adalah satu isyarat politik penting buat Abbas namun hanya memberi kesan sedikit dari segi praktikal.'

"Juga jangan mengharapkan apa-apa kejayaan daripada lawatan ini," tambahnya.

Pada 2016, Russia menawarkan menjadi hos rundingan bersemuka tanpa prasyarat antara Abbas dan Netanyahu namun tidak pernah menjadi kenyataan.

Januari lalu, Menteri Luar Russia Sergei Lavrov menjangka peluang meneruskan rundingan langsung antara kedua pihak dalam situasi terkini hampir kepada sifar. -AFP

413 dibaca
Berita Harian X