;
Isnin, 12 Februari 2018 | 6:32pm
PETUGAS kecemasan di Russia kini menjalankan pencarian ke atas padang diliputi salji di luar ibu kota. - Foto Reuters

3 bulan kenal pasti mangsa nahas AN-148

MOSCOW: Petugas kecemasan di Russia mencari cebisan mayat dan petunjuk di padang diliputi salji di luar Moscow selepas nahas pesawat semalam mengorbankan semua 71 penumpang dan kru.

Presiden Vladimir Putin mengarahkan satu suruhanjaya khas menyiasat punca pesawat AN-148 kendalian Saratov Airlines terhempas di luar Moscow sejurus berlepas ke Orsk, kira-kira 1,500 kilometer dari sini.

Antara punca nahas yang mungkin dipertimbang penyiasat adalah keadaan cuaca, kesilapan manusia dan situasi teknikal pesawat. Kru pesawat tidak menghantar sebarang isyarat kecemasan.

Pakar sedang menganalisis kandungan perakam yang ditemui dalam bangkai pesawat. Rakaman CCTV menunjukkan pesawat kelihatan seperti bebola api membelah langit.

Serpihan pesawat dan anggota badan manusia berselerak dalam lingkungan satu kilometer di sekitar tapak nahas.

Pegawai Kementerian Situasi Kecemasan Russia memaklumkan stesen televisyen tempatan hari ini, ujian DNA sedang diuruskan dengan saudara mara mangsa untuk cuba mengenal pasti cebisan mayat.

Pesawat yang dikeluarkan pada 2010 itu membawa 65 penumpang dan enam kru. Senarai penumpang menunjukkan tiga daripada mereka adalah kanak-kanak.

Pejabat penyiasat pengangkutan berkata, pesawat itu hilang dari radar sekitar empat minit selepas berlepas.

Seorang pegawai serantau berkata, kotak hitam pesawat juga sudah ditemui.

Saratov diasaskan pada 1930-an dan terbang ke 35 bandar Russia. Habnya adalah Lapangan Terbang Pusat Saratov di selatan Russia.

Lebih 400 petugas dan 70 kenderaan dikerah ke tempat nahas.

Tapak nahas diliputi salji, menjadikannya sukar untuk dimasuki dan pekerja kecemasan terpaksa meletakkan kenderaan agak jauh sebelum berjalan kaki ke kawasan kejadian.

Sebahagian lagi menggunakan kenderaan salji dan dron untuk melakukan tinjauan.

Menteri Pengangkutan Russia, Maksim Sokolov, berkata pakar genetik diperlukan untuk membantu mengenal pasti mangsa dan proses itu mungkin mengambil masa antara dua hingga tiga bulan. - AFP/Reuters

764 dibaca
Berita Harian X