Khamis, 8 Februari 2018 | 8:13am
Hartawan George Soros menderma AS$554,840 (RM2.1 juta) menerusi yayasan miliknya kepada kumpulan kempen yang berusaha untuk menyekat Brexit.

Soros derma RM2.1 juta, bantah Brexit

LONDON: Hartawan George Soros menderma AS$554,840 (RM2.1 juta) menerusi yayasan miliknya kepada kumpulan kempen yang berusaha untuk menyekat Brexit, kata pengerusi kumpulan itu semalam.

"Yayasan George Soros bersama sejumlah lagi penderma utama turut menyumbang untuk kerja kami," kata bekas diplomat British, Mark Malloch-Brown yang juga pengerusi kumpulan kempen Best for Britain.

Best for Britain mensasarkan untuk menghentikan Brexit dan mengadakan semula pungutan suara 2016 mengenai keanggotaan Kesatuan Eropah (EU).

Sumbangan Soros kepada kumpulan itu, pertama kali dilaporkan dalam akhbar Daily Telegraph.

Penentang Brexit melihat usaha meninggalkan EU sebagai kesilapan terbesar dalam sejarah pasca Perang Dunia Kedua British dan khuatir ia akan menjejaskan pengaruh kewangan dan politik yang masih ada di Britain.

Menerusi pungutan suara United Kingdom (UK) pada 2016, 51.9 peratus, atau 17.4 juta orang mengundi untuk meninggalkan EU manakala 48.1 peratus, atau 16.1 juta orang, mengundi untuk kekal.

Perdana Menteri Theresa May berkata Britain akan meninggalkan EU pada 29 Mac 2019 dan tidak akan ada lagi pungutan suara, walaupun penentang Brexit mahukan undian lain.

Seorang jurucakap Soros enggan mengulas lanjut ketika dihubungi media. - Reuters

1107 dibaca
Berita Harian X