;
Rabu, 7 Februari 2018 | 12:01pm
BECKHAM diletakkan di dalam kotak kaca dan dikerumuni nyamuk. - Foto YouTube
BECKHAM menyertai kempen anjuran sebuah badan kebajikan British, Malaria No More UK, dengan membintangi sebuah filem pendek. - Foto YouTube

Beckham bintangi filem pendek banteras Malaria

NEW YORK: Legenda bola sepak British, David Beckham menggunakan kuasa popularitinya hari ini untuk menyemai kesedaran memerangi malaria dengan slogan 'Malaria must die - so millions can live."

Atlet yang sudah bersara itu menyertai kempen anjuran sebuah badan kebajikan British, Malaria No More UK, dengan membintangi sebuah filem pendek di mana beliau diletakkan di dalam kotak kaca dan dikerumuni nyamuk.

Adegan itu merujuk kepada cara malaria disebarkan menerusi gigitan serangga penghisap darah itu.

"Serangga ini cukup menjengkelkan di tempat-tempat seperti di United Kingdom (UK) sebaliknya di kebanyakan lokasi lain di dunia, gigitan nyamuk adalah menakutkan dan membawa maut," kata Beckham dalam satu kenyataan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), walau berjaya dikekang sejak beberapa tahun lalu, malaria terus membunuh kira-kira 445,000 orang setahun.

"Ini tidak boleh diterima," kata Beckham, yang juga ahli Majlis kepimpinan Malaria No More UK dan Duta Muhibah tabung kanak-kanak untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Bekas kapten bola sepak England, yang bersara sejak 2013 itu tetap menjadi selebriti global. Semasa berada di puncak kerjaya, beliau pernah menjadi pemain tengah untuk kelab utama termasuk Manchester United dan Real Madrid.

Kempen 'Malaria must die' memfokus untuk mendesak pemimpin negara-negara di Komanwel termasuk Britain dan sebahagian besar bekas tanah jajahannya, untuk mengamalkan dasar yang bertujuan untuk menghapuskan penyakit ini. - Reuters

557 dibaca
Berita Harian X