Rabu, 7 Februari 2018 | 7:03am
GAMBAR fail, pengasas WikiLeaks, Julian Assange bercakap di atas balkoni Kedutaan Ecuador di London pada bulan Mei tahun lalu. - Foto AFP

Mahkamah UK kekal waran tangkap Assange

LONDON: Seorang hakim British mengekalkan waran tangkap ke atas pengasas WikiLeaks, Julian Assange semalam tetapi menangguhkan keputusan permohonan lanjut peguamnya untuk membatalkannya sehingga minggu depan.

"Saya tidak yakin waran itu perlu ditarik balik," kata Hakim Emma Arbuthnot memberitahu mahkamah di London.

Arbuthnot menjelaskan, ini kerana Assange melanggar syarat jaminannya pada tahun 2012.

Bagaimanapun permohonan lain dari peguam Assange yang meminta beliau mempertimbangkan sama ada mengekalkan waran tangkap itu memberi kesan kepada 'kepentingan awam' akan ditentukan secara berasingan.

Keputusan itu akan dikeluarkan pada 13 Februari ini.

Assange masuk ke kedutaan Ecuador pada Jun 2012 untuk mengelak satu waran tangkap dari Eropah dan di ekstradisi ke Sweden berikutan satu siasatan kes rogol dan dakwaan serangan seksual terhadapnya pada 2016.

Sweden membatalkan siasatannya tahun lalu.

Tetapi polis British masih berusaha menangkap Assange kerana gagal menyerah diri ke mahkamah selepas melanggar syarat jaminannya apabila gagal dalam kes ekstradisi. - AFP

400 dibaca
Berita Harian X