Sabtu, 13 Januari 2018 | 7:38am
KEADAAN bas awam yang bertembung dengan kereta di pinggir bandar Prague, hari ini. - Foto REUTERS

Tiga mati kemalangan bas

PRAGUE: Sekurang-kurangnya tiga maut dan 45 lagi dilapor cedera, selepas sebuah bas awam bertembung dengan kereta di pinggir bandar Prague, hari ini, kata polis.

"Kemalangan sebuah bas dan kereta itu mengorbankan tiga orang, iaitu pemandu kereta dan dua penumpang bas," kata jurucakap polis, Monika Schindlova kepada AFP.

Katanya, tragedi berkenaan turut mencederakan 45 penumpang lain termasuk lima dilaporkan serius, manakala sepuluh lagi mengalami kecederaan ringan.

Pasukan penyelamat berjaya membawa keluar beberapa penumpang cedera yang terperangkap dalam bas, selepas kenderaan itu turut merempuh sebatang pokok.


PASUKAN keselamatan di tempat kejadian. - Foto REUTERS

Schindlova berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

Sementara itu, jurucakap pasukan penyelamat, Jana Postova memberitahu, dua kanak-kanak yang mengalami kecederaan kepala serius menerima bantuan pernafasan.

Bas mengalami kerosakan teruk milik syarikat swasta Arriva berkenaan menjadi pengangkutan utama menghubungkan daerah ke-6 Prague dengan kampung Holubice, terletak di barat laut Republik Czech. - AFP


PASUKAN keselamatan di tempat kejadian. - Foto REUTERS

818 dibaca
Berita Harian X