Isnin, 9 Oktober 2017 | 11:38pm
PERANCIS tidak akan mengiktiraf Catalan jika ia mengisytiharkan kemerdekaan secara sebelah pihak.- FOto EPA

Perancis tidak iktiraf kemerdekaan unilateral Catalan

PARIS: Perancis tidak akan mengiktiraf Catalan jika ia mengisytiharkan kemerdekaan secara sebelah pihak, kata Menteri Hal Ehwal Eropah Nathalie Loiseau.

"Jika ada satu pengisytiharan kemerdekaan, ia mungkin secara unilateral dan tidak akan diiktiraf.

"Catalonia tidak boleh ditakrifkan oleh undian anjuran pergerakan kemerdekaan lebih seminggu lalu.

"Krisis itu perlu diselesaikan menerusi dialog di semua peringkat politik Sepanyol," kata menteri muda Perancis itu kepada saluran CNews.

Catalonia yang memiliki bahasa dan budaya sendiri, ditadbir kerajaan serantau prokemerdekaan, mengadakan pungutan suara 1 Oktober lalu untuk satu pemisahan.

Ia membelakangkan keputusan mahkamah perlembagaan Sepanyol, yang mengisytiharkan undian itu tidak sah.

Loiseau menambah, satu keputusan terburu-buru mengiktiraf kemerdekaan susulan pengisytiharan sebelah pihak seolah-olah menunjukkan Perancis lari daripada tanggungjawabnya. - REUTERS

667 dibaca
Berita Harian X