Sabtu, 7 Oktober 2017 | 11:53pm
KAPAL terbang Air Berlin - Foto AFP

1,400 kakitangan Air Berlin bakal kehilangan kerja

FRANKFURT: Kira-kira 1,400 kakitangan Air Berlin dijangka kehilangan kerja akhir bulan ini, berikutan masalah kewangan yang dihadapi syarikat penerbangan itu.

Menurut maklumat yang diperoleh dari kesatuan oleh AFP, antara yang terjejas ialah kakitangan lapangan terbang dan pentadbiran yang tamat tempoh kontrak pada hujung bulan ini atau Februari depan.

Dokumen itu juga mendedahkan bahawa Air Berlin bakal menamatkan operasinya tidak lama lagi, manakala subsidiarinya, Niki sebuah syarikat penerbangan tambang murah akan meneruskan operasi seperti biasa.

Syarikat penerbangan Jerman itu memulakan prosiding muflis pada Ogos lalu, selepas pemegang saham terbesarnya, Etihad Airways, enggan menambah pelaburannya dalam Air Berlin.

Menurut agensi berita DPA, ketika ini, 8,600 kakitangan, termasuk pekerja sambilan berkhidmat dengan Air Berlin. - AFP

896 dibaca
Berita Harian X