Sabtu, 12 Ogos 2017 | 7:27pm

5 maut susulan ribut ganas di Poland

WARSAW: Lima orang termasuk dua anggota Pandu Puteri di lokasi perkhemahan maut dalam kejadian ngeri awal hari ini apabila ribut ganas melanda Poland di tengah-tengah gelombang panas di negara itu.

Dua gadis itu, berusia 13 dan 14 tahun, dihempap pokok tumbang ketika tidur dalam khemah dan kira-kira 20 kanak-kanak lagi cedera apabila ribut itu membadai kawasan perkhemahan Pengakap dan Pandu Puteri dengan 140 peserta di kampung Suszek di utara Poland.

Seorang wanita terbunuh apabila pokok menghentam rumahnya di kampung Konarzyny manakala seorang lelaki yang tidur dalam khemah di kampung berhampiran juga meninggal dunia selepas dihentam pokok yang diterbangkan angin kencang.

Pihak berkuasa di wilayah sama juga mengesahkan kematian mangsa kelima, lelaki berusia 48 tahun, yang juga dihempap pokok.

Keseluruhan 28 orang dilaporkan cedera apabila bekalan elektrik dipotong kepada sekitar sejuta rumah dan premis perniagaan ketika angin kencang menumbangkan pokok dan menerbangkan bumbung di wilayah utara dan selatan.

Gelombang kepanasan luar biasa menyaksikan suhu meningkat kepada 30 darjah Celsius seluruh Poland sejak beberapa hari lalu tetapi cuaca sederhana dijangka pada hujung minggu. - AFP

166 dibaca
Berita Harian X