Khamis, 11 Oktober 2018 | 9:46pm
JURUCAKAP Kementerian Luar China, Lu Kang. - Foto AFP

AS cuba gugat dasar kerajaan di Xinjiang - China

BEIJING: China menuduh Amerika Syarikat (AS) cuba mengganggu dasar keselamatannya, selepas laporan Kongres AS berkata, kem besar-besaran minoriti Muslim mungkin jenayah terhadap kemanusiaan.

Menurut laporan oleh Jawatankuasa Eksekutif Kongres terhadap China, situasi hak asasi manusia di China amat teruk dan kian meruncing lebih-lebih lagi dengan penghantaran sehingga sejuta etnik Uighur dan etnik lain ke kem.

Sebagai tindak balas, Kementerian Luar China menyifatkan laporan mengenai dasarnya di rantau itu sebagai ‘khabar angin dan tuduhan tidak berasas’.

“Dasar ini bertujuan untuk menjaga kestabilan sosial dan keselamatan Xinjiang serta disokong rakyat. Pihak berkenaan mahu mengganggu usaha sebegini. Ia sia-sia,” kata jurucakap Kementerian Luar, Lu Kang.

Beijing mempunyai sejarah panjang menuduh AS menyemai semangat pemisahan anti China di Xinjiang dengan menuduh Washington menaja kumpulan mempromosikan kemerdekaan wilayah itu.

Wilayah itu mewakili satu per enam kawasan daratan China, ia adalah lokasi batu loncatan projek bercita-cita tinggi ‘Belt and Road’ bertujuan membuka laluan darat baharu untuk meningkatkan akses pasaran Asia dan Eropah.

Usaha memastikan kestabilan di situ menjadi keutamaan kepimpinan negara itu yang cuba mengekang sabarang gangguan terhadap cita-cita ekonominya. - AFP

293 dibaca
Berita Harian X