Khamis, 17 Mei 2018 | 12:36am

68 peratus tinggal di bandar menjelang 2050 - PBB

NEW YORK: Enam puluh lapan peratus populasi dunia akan menetap di kawasan bandar menjelang 2050, menurut unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam berbanding 55 peratus, ketika ini.

Laporan PBB menjangkakan tambahan 2.5 bilion penduduk di bandar yang semakin berkembang dalam tempoh 30 tahun lagi dengan sehingga 90 peratus pertumbuhan diramalkan berlaku di bandar Asia dan Afrika.

Lonjakan tambahan penduduk bandar akan tertumpu di beberapa negara iaitu 35 peratus pengembangan bandar berlaku di India, China dan Nigeria sahaja untuk tempoh 2018 hingga 2050.

Jangkaan itu akan menyaksikan pertambahan 416 juta orang di kawasan dan bandar di India, 255 juta di China dan 189 juta di Nigeria.

Jumlah penduduk bandar seluruh dunia meningkat pantas daripada 751 juta pada 1950 kepada 4.2 bilion pada 2018. Walaupun mempunyai kadar perbandaran lebih rendah, Asia mempunyai 54 peratus penduduk bandar di seluruh dunia diikuti Eropah dan Afrika, masing-masing 13 peratus.

Faktor penghijrahan umum dari kawasan pedalaman ke bandar bersama pertumbuhan populasi secara keseluruhan akan menyaksikan dunia mempunyai 43 bandar mega menjelang 2030 iaitu bandar yang mempunyai lebih 10 juta penduduk.

Tokyo kini adalah bandar terbesar dunia dengan 37 juta penduduk, diikuti New Delhi dengan 29 juta penduduk, Shanghai 26 juta serta Sao Paulo dan Mexico City, masing-masing 22 juta penduduk.

Sementara itu, Kaherah, Mumbai, Beijing dan Dhaka masing-masing semakin hampir mencapai tahap 20 juta penduduk. - AFP

329 dibaca
Berita Harian X