Selasa, 17 April 2018 | 8:55pm

Perusuh maut, bantah kes rogol, bunuh kanak-kanak

KARACHI: Sekurang-kurangnya seorang lelaki maut, manakala beberapa yang lain cedera dalam rusuhan di bandar terbesar di Pakistan hari ini, susulan kes rogol dan bunuh membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.

Dalam kejadian berkenaan, orang ramai bertindak menyerang polis anti rusuhan menggunakan batu di pinggir Orangi Town, di barat Karachi, selepas penemuan mayat mangsa, lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah, Aamir Farooqi, berkata mangsa yang maut itu menemui ajal selepas ditembak dan polis masih menyiasat identiti penembak.

Kes berkenaan menimbulkan kemarahan orang ramai, khususnya ahli keluarga mangsa yang mendakwa ia tidak ditangani dengan baik oleh pihak polis.

Laporan perubatan menunjukkan kanak-kanak malang itu diserang secara seksual dan dicekik sehingga mati.

Aamir berkata, pihak polis terpaksa menembak air ke arah semua perusuh bagi menyuraikan perhimpunan itu apabila gagal mengawal keadaan, sebelum menyerang mereka menggunakan baton.

Dua perusuh yang cedera terkena tembakan dibawa mendapatkan rawatan di hospital Abbasi Shaheed, namun seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Yang turut cedera, antara 10 hingga 15 anggota polis. - AFP

237 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »