Selasa, 13 Februari 2018 | 1:49am
Penempatan Israel di Givat Ze'ev, di Tebing Barat. - Foto REUTERS

Netanyahu-AS bincang kuasai penempatan

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, hari ini beliau ada berbincang dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai undang-undang yang secara berkesan akan menguasai penempatan di Tebing Barat yang diduduki, kata seorang jurucakap.

"Menyentuh isu mendapatkan kedaulatan, boleh dikatakan di sini bahawa sudah lama saya dan AS bercakap mengenainya," kata Netanyahu kepada anggota parlimen parti Likud, yang dipetik dari kenyataan seorang jurucakap.

Langkah itu pastinya akan membahayakan prospek untuk mendapatkan penyelesaian dua negara kepada konflik Israel-Palestin.

Netanyahu berkata beliau mahu menyelaraskan langkah itu dengan AS kerana kepentingan strategik negara itu kepada Israel.

Kenyataan itu dibuat ketika Netanyahu berdepan tekanan dari ahli politik sayap kanan untuk meneruskan undang-undang yang akan menerapkan kedaulatan Israel ke penempatan di Tebing Barat.

Dua ahli parlimen, termasuk seorang dari parti Netanyahu, mencadangkan undang-undang itu untuk memastikan kedaulatan Israel ke penempatan di seluruh Tebing Barat.

Netanyahu menyekatnya daripada diteruskan Ahad lalu dengan pegawai turut menyuarakan keperluan untuk memberi tumpuan kepada isu keselamatan berikutan konfrontasi yang membawa kepada serangan udara Israel di Syria pada hujung minggu.

Penguasaan penempatan secara sebelah pihak pasti akan mencetus kemarahan antarabangsa, walaupun kerajaan Netanyahu disokong kuat Presiden AS, Donald Trump.

Trump mengakui Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel Disember lalu dalam langkah yang disifatkan Netanyahu sebagai 'bersejarah' namun dikecam oleh Palestin dan kebanyakan negara lain di dunia. - AFP

612 dibaca
Berita Harian X