Isnin, 12 Februari 2018 | 2:06pm
PRESIDEN Korea Selatan, Moon Jae-in (kiri) berbual dengan Presiden Dewan Tertinggi Rakyat Korea Utara, Kim Young Nam sambil diperhatikan adik perempuan Kim Jong Un, Kim Yo Jong selepas persembahan Orkestra Samjiyon Korea Utara di Seoul. - Foto Reuters

Seoul, Pyongyang tingkat pertemuan

SEOUL: Korea Selatan akan mengatur lebih banyak pertemuan semula bagi keluarga yang terpisah akibat Perang Korea, selain berusaha mengendurkan ketegangan dengan Korea Utara.

Kenyataan Kementerian Penyatuan itu dikeluarkan selepas delegasi peringkat tertinggi Korea Utara menamatkan lawatan tiga hari dan menyampaikan jemputan untuk Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, melawat Pyongyang untuk perbincangan.

"Jemputan itu menunjukkan kesungguhan Korea Utara untuk memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara di Semenanjung Korea.

"Jika perlu mereka (Pyongyang) sanggup mengambil langkah luar biasa dan agresif untuk mencapai tujuan itu," menurut kementerian itu.

Kunjungan delegasi Pyongyang, termasuk adik perempuan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, iaitu Kim Yo-jong, mengejutkan pelbagai pihak di Korea Selatan.

Pada masa sama, ia mengundang kritikan mengenai keikhlasan dan kesediaan Pyongyang untuk menamatkan program senjata nuklearnya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Seoul dan Pyongyang menganjurkan pertemuan semula bagi membolehkan keluarga yang terpisah akibat perang berjumpa dengan keluarga masing-masing.

Malah, tahun lalu, Korea Selatan mengemukakan tawaran kepada Korea Utara untuk menganjurkan satu lagi perjumpaan secara tetap, namun butiran lengkap mengenainya masih dibincangkan. - Reuters

282 dibaca
Berita Harian X